Usikan Kak Engku kembali

Usikan Kak Engku kembali

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Selepas hampir sedekad tidak mengacarakan acara Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), nama Raja Azura kini kembali menjadi bualan.

Kali ini, Raja Azura yang sinonim dengan panggilan Kak Engku digandingkan dengan penyanyi dan pengacara, Shiha Zikir untuk ABPBH edisi ke-37.

Berkongsi mengenai perasaannya kembali ke pentas anugerah berprestij itu, Kak Engku, 53, berkata dia terbuka untuk bergandingan dengan sesiapa sahaja.

“Saya boleh bekerja dengan sesiapa sahaja. Orang lain saya tak tahu, tapi saya, dengan sesiapa pun tak kisahlah harimau ke, naga ke, singa ke, saya tahu meletakkan diri saya di mana.

“Lagi-lagi kita ini dah lama sebab kita pun dah lama tak keluar untuk program berskala besar. Tetapi sebenarnya dunia pengacaraan secara langsung, siaran langsung, anugerah gilang-gemilang, bagi saya, itu memang sudah sebati dalam diri saya.

“Daripada saya mengacarakan ABPBH dulu, kemudian saya buat Pujaan 10 NescafÈ pada zaman dahulu pun siaran langsung juga,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya apabila diumumkan akan mengendalikan acara terbabit pada 12 Disember ini bersama Shiha, Kak Engku berkata, dia bersedia untuk berkongsi ilmu.

“Saya mengacarakan ABPBH beberapa kali, kemudian saya buat Kilauan Emas. Bila kita buat siaran langsung, itulah diri saya sebenarnya. Siaran langsung itu adalah jiwa saya.

“Jadi bila saya digandingkan dengan Shiha, dia sangat risau. Dia kata, ‘Tolong bagi saya tenaga’. Saya kata, ‘Shiha jangan risau, saya ialah orang yang nak kongsi ilmu dengan generasi baru’.

“Saya tak pernah kedekut ilmu. Ambillah ilmu saya, sebab ilmu itu pun anugerah Allah SWT. Apa yang saya ada, saya kongsikan. Saya akan berkongsi pengalaman saya dengannya, dan saya akan masuk dalam dunia Shiha Zikir supaya dia lebih selesa dengan saya,” katanya.

Katanya, dia juga akan memastikan bahawa mereka tampak serasi tanpa membayangi mana-mana pihak.

“Kami pun Alhamdulillah sangat serasi. Tak kisahlah apa pun, saya dengan dia akan cuba buat yang terbaik supaya tak nampak macam saya ‘makan’ dialog orang.

“Saya nak betul-betul tunjukkan kerja berpasukan yang sebenar. Walaupun saya pernah buat anugerah berskala besar di Arena of Stars, tapi kali ini tempatnya berbeza di Hotel Premiera Kuala Lumpur.

“Jadi saya pastikan bila saya dan Shiha buat nanti, orang tak nampak pun apa yang berlaku di sekeliling, orang hanya akan nampak yang ABPBH37 berjaya, Alhamdulillah,” katanya.

Mengakui rindu untuk kembali beraksi sebagai pengacara, Kak Engku mengimbau kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika bergandingan dengan Anita Sarawak.

“Saya sangat rindu. Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi pengacara ABPBH37. Saya berada dalam ABPBH lebih 32 tahun.

“Saya pertama kali naik pentas pada 1993 apabila saya memenangi Anugerah TV Wanita Popular. Itulah detik paling indah, ketika saya bersama Anita Sarawak. Tengah mengacara, tiba-tiba menang anugerah. Kenangan yang tak dapat saya lupakan.”Kali ini saya mengimbau kembali kenangan itu. Saya cuba buat yang terbaik dan meninggalkan satu kesan bahawa apabila orang menonton ABPBH, mereka bangkit dengan satu keunggulan, keajaiban dan kegembiraan.

“Anugerah ini menyinari industri hiburan dan menjadi semangat kepada artis-artis kita, sama ada artis lama dan baharu kerana ia diundi oleh peminat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top