lokman.khairi@hmetro.com.my
Shah Alam: Ahli perniagaan, Albert Tei didakwa memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Berdasarkan pertuduhan, Tei didakwa memberikan suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik seorang wanita, Rahmalidya Buyong bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur kepada Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Suapan itu adalah sebagai dorongan bagi Shamsul Iskandar membantu syarikat-syarikat yang Tei mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukannya di CIMB Bank Cawangan Country Heights, Kajang, Selangor antara 28 November 2023 dan 23 September 2024.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Ezlin Yusop Khan memohon menggunapakai jaminan RM70,000 dengan dua penjamin, serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap sebulan di pejabat SPRM terdekat dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
Farah Ezlin turut memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948, berikutan tertuduh juga didakwa dengan empat lagi pertuduhan rasuah di mahkamah berkenaan, semalam.
Peguam Eric Paulsen, Mahajoth Singh, N Surendran dan Rajesh Nagarajan yang mewakili tertuduh tidak membantah.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan dikemukakan Farah Ezlin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Januari tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




