Mahkamah Agung Ireland tolak rayuan McGregor

Mahkamah Agung Ireland tolak rayuan McGregor

Dublin: Usaha terakhir jaguh seni bela diri campuran (MMA), Conor McGregor untuk mengetepikan keputusan kes sivil berkaitan dakwaan rogol akhirnya ditolak Mahkamah Agung Ireland, kata plaintif Nikita Hand.

Hand menyifatkan keputusan terbaharu ini sebagai kemenangan untuk semua yang pernah diperlakukan seperti dirinya.

Rayuan pertama McGregor ditolak pada Julai lalu, dan keputusan Mahkamah Agung untuk mengekalkan penghakiman asal November tahun lalu menamatkan prosiding sivil yang berlarutan hampir tujuh tahun itu.

Menurut laporan media Ireland, panel hakim menolak permohonan rayuan terakhir McGregor kerana pasukannya gagal mengemukakan hujah baharu atau kukuh. Keputusan itu sekali gus mengekalkan penghakiman memihak kepada Hand.

“Selepas tujuh tahun mencari keadilan, akauntabiliti dan ketenangan, saya bersyukur sistem perundangan sivil Ireland membenarkan suara saya didengari,” kata Hand dalam satu kenyataan.

Mahkamah sebelum ini mendengar dakwaan bahawa McGregor merogol dan mencederakan Hand.

Begitupun, McGregor, 37, menafikan dakwaan itu dan menegaskan hubungan mereka adalah suka sama suka.

Bintang Ireland yang terkenal dengan gelaran “The Notorious” itu turut diarahkan membayar keseluruhan kos kes, dianggarkan sekitar €1.5 juta (RM7.4 juta).

McGregor, bekas juara featherweight dan lightweight UFC, juga berdepan pelbagai kontroversi lain.

Awal tahun ini, beliau disaman di mahkamah Amerika Syarikat oleh seorang wanita yang mendakwa dirinya diserang seksual ketika perlawanan NBA di Miami pada 2023, namun saman itu digugurkan awal bulan ini.

Bulan lalu, McGregor dikenakan penggantungan 18 bulan selepas gagal menjalani tiga ujian antidoping dalam tempoh 12 bulan.

Namun kerana hukuman itu berkuatkuasa dari September 2024, McGregor dijangka boleh bertarung semula seawal Mac 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top