sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Kem Terengganu FC (TFC) berkemungkinan besar akan ‘berpisah’ dengan penyerang utama, Yann Mabella sehingga berakhir Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.
Ini berikutan kecederaan lutut yang dialami penyerang berdarah Perancis itu masih belum sembuh sepenuhnya dan memerlukan masa lebih panjang berbanding jangkaan awal sebelum ini selama enam minggu.
Ketiadaan penjaring terbanyak skuad Penyu itu sudah pasti begitu dirasai kem skuad Penyu dan juga peminat setia yang sebelum ini mengharapkan pemain berusia 29 tahun itu mampu meledak gol dalam setiap perlawanan.
Ketika diajukan persoalan itu kepada ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali, beliau tanpa berselindung akui begitu terasa ‘kehilangan’ pemain yang lebih mesra dipanggil ‘Yann’ itu ketika pasukan begitu memerlukan khidmatnya.
Ini kerana seorang lagi penyerang import dari Cameroon, Junior Ngong Sam dilihat tidak begitu menyerlah setiap kali diturunkan sekali gus menyaksikan skuad itu bergantung kepada kelibat Mabella.
Bagaimanapun beberapa pemain tempatan dan import seperti Engku Nur Shakir Engku Yacob, Akhyar Rashid, Syahmi Zamri, Careca dan Gabriel Silva dilihat mampu bertindak sebagai penjaring gol berdasarkan reputasinya sebelum ini.
“Kami begitu terasa kehilangan Mabella kerana dia adalah penyerang utama pasukan ketika ini, tapi kecederaan lutut yang dialami memaksanya berehat lebih panjang.
“Besar kemungkinan Yann tidak akan bersama pasukan sehingga berakhir saingan Liga M pada musim ini akibat kecederaan itu.
“Saya harap pemain yang bakal menggantikan posisi Yann mampu menggalas tugas dengan lebih berkesan bagi memastikan pasukan berjaya meraih kemenangan dalam setiap perlawanan,” ujar jurulatih berusia 49 tahun itu.
TFC yang kini menghuni di tangga kelima Liga Super bakal bertembung dengan Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada malam ini.
Berdasarkan rekod pertemuan dalam empat perlawanan terakhir dilihat seimbang dengan masing-masing mencatat sekali kemenangan dan dua kali seri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




