Cklamovski berharap Arif Aiman cepat sembuh

Cklamovski berharap Arif Aiman cepat sembuh

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski percaya tempoh sukar yang sedang dilalui Arif Aiman Hanapi hanya menjadi batu loncatan untuk bintang muda itu kembali lebih kuat selepas pulih daripada kecederaan hamstring dialaminya bulan lalu.

Sebelum ini, bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) difahamkan menjalani pembedahan di Finland di bawah pakar sukan terkenal, Lempainen Lasse dan kini memasuki fasa awal pemulihan.

Bagaimanapun, tempoh tepat untuk Arif Aiman kembali beraksi masih belum dapat ditentukan.

Tumpuan kini terarah kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan pemain berusia 23 tahun itu menjelang aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac, perlawanan yang dijangka sangat penting buat skuad negara.

Cklamovski menegaskan Arif berada di tangan yang tepat dan yakin perkembangan positif akan menyusul sebaik proses pemulihan berjalan dengan baik.

“Berita yang baik apabila dia (Arif Aiman) selamat menjalani pembedahan dan saya fikir kita perlu bersabar, ini fasa awal pemulihan. Dia dijaga dengan baik, amat baik. Dia akan melalui proses pemulihan yang betul. Saya tahu dia akan kembali dengan baik selepas dapat berlatih dan beraksi semula.

“Dia pemain yang berbakat, memiliki potensi yang kita semua tahu dan dia akan menggunakan dugaan ini untuk menjadikannya kisah positif untuk dirinya, kelabnya dan pasukan kebangsaan.

“Mungkin masih terlalu awal untuk menilainya (sama ada Arif Aiman boleh beraksi atau tidak menentang Vietnam). Kita tengok bagaimana perkembangannya nanti. Risau bukan perkataan yang tepat, saya harap yang terbaik untuk dia,” katanya.

Kecederaan Arif berlaku ketika aksi menentang Nepal pada 18 November di Stadium Nasional, Bukit Jalil, apabila dia terpaksa dikeluarkan selepas lapan minit permainan sebelum digantikan penjaring gol tunggal, Faisal Halim.

Sementara itu, kenyataan JDT kelmarin sedikit melegakan penyokong apabila mengesahkan pembedahan Arif berjalan lancar bersama Lasse, pakar ternama yang turut pernah merawat atlet bertaraf dunia termasuk pemenang Ballon d’Or 2025, Ousmane Dembele.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top