am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menerima laporan tidak tepat mengenai isu cukai tanah yang diterokai FELDA.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan menegaskan tidak menerima bayaran hasil cukai tanah daripada FELDA untuk ladang kelapa sawit seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri ini.
Katanya, kerajaan tidak pernah meluluskan geran hak milik tanah kepada FELDA.
“Bayaran cukai tanah terutama membabitkan keluasan kira-kira 15,000 hektar hanya boleh dibayar jika tanah yang diterokai dengan tanaman kelapa sawit menjadi hak milik FELDA yang diserahkan kerajaan negeri.
“Kita tidak menyalahkan Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam isu bayaran cukai tanah, sebaliknya dia mungkin menerima laporan tidak tepat daripada pengurusan FELDA,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada Persidangan Dewan Negara minggu lalu, Anwar dilaporkan berkata, tindakan sebuah negeri yang menyita tanah FELDA, walaupun cukai sudah dibayar.
Mengulas lanjut, Dr Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Penyelesaian Tanah FELDA negeri berkata, kenyataan Anwar itu tersasar daripada fakta dan boleh menimbulkan tanggapan negatif kepada kerajaan negeri.
Katanya, Anwar diminta memperbetulkan semula kenyataan bagi mengelakkan tanggapan negatif terhadap kerajaan.
“Kita pun pelik, macam mana pengurusan FELDA boleh beri maklumat tidak tepat kepada Anwar bahawa mereka sudah membayar cukai tanah kepada kerajaan, sedangkan tanah itu bukan milik mereka.
“Fakta tepat adalah FELDA ada membayar hasil tanah kepada kerajaan Pahang dan bukannya kepada Terengganu, kekeliruan itu mungkin berlaku disebabkan dua negeri menggunakan warna bendera sama iaitu hitam dan putih,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata, kerajaan negeri memutuskan melanjutkan tempoh remedi Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) berkaitan isu pengalihan aset di kawasan tanah FGV sehingga Ahad ini.
Katanya, perlanjutan tempoh yang berakhir semalam diputuskan selepas kerajaan mengambil kira pelbagai maklum balas dan situasi yang berlaku di lapangan.
“Lanjutan tempoh selama tiga hari berkuat kuasa semalam hingga Ahad ini diberikan bagi memberi ruang kepada pengurusan FGV membuat persediaan dan mengambil tindakan susulan sewajarnya seperti yang termaktub dalam notis.
“Kita juga mengambil sikap terbuka untuk berkomunikasi dengan pihak FGV dan bersedia berkerjasama jika terdapat sebarang isu di lapangan yang memerlukan koordinasi dan penyelesaian bersama bagi memastikan proses penyelesaian isu tanah berjalan lancar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




