Bung Moktar sangat setia dalam perjuangan – Johari

Bung Moktar sangat setia dalam perjuangan – Johari

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin disifatkan seorang pemimpin yang sangat setia dalam perjuangan UMNO, khususnya di Sabah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pemergian Ketua UMNO Sabah itu hari ini adalah kehilangan besar kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Beliau adalah seorang yang paling setia dalam perjuangan, dia tidak pernah lari ke mana-mana, sama ada BN, UMNO kuat atau tak kuat dia tetap bersama parti.

“Itu menunjukkan keikhlasan dia bersama parti dan dalam perjuangan tidak kira sama ada ketika ada kuasa atau tak ada kuasa, sama ada kuat atau lemah, dia tetap dalam perjuangan,” katanya.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu ditemui selepas selesai solat jenazah Allahyarham Bung Moktar di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Johari bersama beberapa pemimpin UMNO Pusat mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN menyertai jemaah lain menunaikan solat jenazah selepas solat Jumaat, tengah hari tadi.

Sementara itu, pelakon Shaheizy Sam yang juga adik ipar Allahyarham berkata, Bung Moktar kelihatan lemah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) lalu dan paling ketara pada hari terakhir kempen sebelum mengundi pada 29 November.

“Sebelum ini kan kempen PRN, daripada situ memang nampak dia sudah tidak sihat, ‘last’ (terakhir) jumpa sehari sebelum mengundi, memang saya setiap kali pilihan raya akan datang bantu dia kempen.

” ‘Last day’ (Hari terakhir) berkempen dia nampak tak macam dulu, tak ada tenaga nampak penat dan yang mengejutkan pasal semalamlah apabila diberitahu keadaan dia teruk,” katanya ditemui di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Mengulas lanjut mengenai Bung Moktar, beliau berkata pemimpin yang terkenal dengan kelantangan suaranya di Parlimen itu mempunyai sisi berbeza di rumah.

“Apa yang kita nampak dia di Parlimen, itu bukan dia, macam mana agresif kita nampak dia dalam Parlimen, kalau di rumah dia seorang yang sangat berbeza, nak dengar dia tinggi suara, nak dengar dia marah dekat rumah tak pernah.

“Saya rasa berbelas tahun ini jarang nampak dia (marah), apa yang kita nampak dia dekat Parlimen memang macam orang lain, memang berbeza. Dekat rumah, Allahhuakhbar dengan anak-anak dia, cukup bagus,” katanya.

Beliau berkata, paling diingati nasihat arwah yang selalu mengingatkannya mengenai emaknya yang memintanya supaya tidak lupa menjaga emak.

Dalam pada itu, seorang pesara RTM, Mohd Salim Ibrahim, 72, menyifatkan arwah seorang pemimpin yang baik dan banyak membantu masyarakat.

“Secara peribadi saya dulu di RTM memang rapat dengan arwah, arwah seorang pemimpin yang baik yang banyak membantu masyarakat dan dengan kawan-kawan dia memang sangat baik,” katanya.

Kenalan arwah, Syed Husin Habib Omar, 70, berkata kehadiran ramai jemaah di Masjid Bandaraya hari ini adalah rezeki bagi Allahyarham, lebih-lebih lagi beliau meninggal pada hari Jumaat.

“Alhamdulillah syukur, kita telah selesai memberi penghormatan terakhir kepada YB Datuk Bung. Alhamdulillah, rezekinya pada hari ini, hari yang cukup mulia, Jumaat.

“Dianggarkan hari ini mungkin ada 4,000 hingga 5,000 jemaah, paling ramai, alhamdulillah rezekinya. Mudah-mudahan kita doakan Allah tempatkan dia di tempat yang lebih baik, insya-Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top