Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pemain gantian, Engku Nur Shakir Yacob muncul penyelamat Terengganu FC (TFC) apabila meledak gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengikat Kuching City FC 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.
Kuching City bermula lebih yakin dan memperoleh gol pendahuluan menerusi bekas arkitek TFC, Petrus Shitembi pada minit ke-44 selepas menerima umpanan Moses Atede, sekali gus mengecewakan lebih 1,500 penyokong tuan rumah.
TFC kembali mendapat dua peluang menarik menerusi Gabriel Silva, namun kedua-duanya gagal disudahkan termasuk satu percubaan yang hanya sipi di sebelah kiri gol lawan biarpun penjaga gol Haziq Nadzli sudah tertewas.
Kuching City kemudian hampir menggandakan jaringan tetapi rembatan jarak jauh Danial Amier Norhisham sekadar menggegarkan palang.
Aksi panas di hujung perlawanan menutup malam suram kedua-dua pasukan apabila Safwan Mazlan (TFC) dilayangkan kad merah, manakala pertahanan Kuching City, Filemon Anyie turut diarahkan keluar padang selepas menerima dua kad kuning kerana bergaduh.
Ketika perlawanan dilihat memihak kepada pelawat, Engku Shakir muncul penyelamat selepas bola hantaran Khalai’f berjaya disudahkan pemain itu pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 1-1 hingga tamat perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



