Sistem logistik sawit Malaysia antara paling terkawal

Sistem logistik sawit Malaysia antara paling terkawal

Kuala Lumpur: Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa apabila seorang pakar dari United Kingdom menyifatkan sistem logistik dan pengangkutan minyak sawit negara ini antara yang paling terkawal dan berdisiplin di dunia.

Penilaian itu dibuat Pengurus Teknik dan Kawal Selia Makanan dan Makanan Haiwan, Minyak dan Lemak Universiti Pretoria UK, Dr Gretel Bescoby ketika menghadiri Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bescoby berkata, lawatannya ke ladang sawit tempatan membuka perspektif baharu terutama dalam melihat bagaimana operasi di lapangan menguruskan sumber secara cekap mengikut prinsip ekonomi sirkular.

“Saya benar-benar terkesan. Segala yang digunakan di ladang dimasukkan kembali dalam sistem. Tenaga kitaran sangat jelas,” katanya yang memuji tahap kematangan amalan agronomi Malaysia.

Beliau turut menegaskan bahawa rantaian logistik minyak sawit dunia dikawal bukan sahaja melalui undang-undang domestik tetapi melalui kontrak komersial yang amat ketat hingga menjadi ‘buku peraturan’ kepada pengendali kapal dan pedagang.

“Ini sistem swaregulasi. Tidak patuh, dan penalti komersialnya sangat besar,” katanya merujuk keperluan pembersihan wajib, kawalan risiko kontaminasi serta dokumentasi perjalanan yang menyeluruh.

Mengulas keperluan eksport ke Kesatuan Eropah (EU), beliau menjelaskan blok itu kekal sebagai pasaran paling tegas dalam keselamatan makanan, termasuk syarat penggunaan tangki bukan khusus yang hanya dibenarkan jika muatan terdahulu berada dalam senarai diluluskan EU.

“Jika mahu masuk EU, anda mesti ikut senarai mereka. Ia tidak boleh dirunding,” katanya.

Beliau berkata, insiden pencemaran besar dalam penghantaran minyak sawit adalah sangat jarang atau hampir tidak berlaku, hasil tiga komponen utama membabitkan pembersihan tangki berintensiti tinggi, garis panduan industri yang mantap dan insentif komersial yang menjadikan kecuaian sebagai risiko yang tidak boleh diterima.

Pemerhatian itu mengukuhkan keyakinan terhadap peranan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit yang stabil pada era pasaran global yang semakin dipacu faktor kelestarian, ketelusan dan pematuhan piawaian.

Dengan amalan sirkular di peringkat ladang serta kepatuhan ketat terhadap standard logistik antarabangsa, Malaysia kini berada pada kedudukan strategik untuk mengukuhkan reputasi minyak sawit, menarik pelabur berorientasi ESG, dan memperluaskan akses ke pasaran premium seperti EU.

Bescoby menegaskan, meskipun rantaian bekalan dunia kerap berdepan risiko geopolitik dan peraturan baharu, Malaysia kekal konsisten membekalkan minyak sawit dengan tahap kawal selia yang tinggi dan boleh diaudit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top