Loceng amaran alam

Loceng amaran alam

Langit di atas kepulauan Sumatera kelihatan mendung sejak beberapa minggu kebelakangan ini, seolah-olah menyimpan beban air yang tidak tertanggung. Namun, apa yang turun bukan sekadar hujan, melainkan malapetaka yang menghanyutkan harapan ribuan penduduk.

Dari wilayah Aceh di hujung utara hingga ke lereng-lereng curam di Sumatera Barat, alam sedang menunjukkan kekuasaannya melalui fenomena yang dikenali penduduk tempatan sebagai ‘banjir bandang.’

Ini bukan banjir biasa yang airnya naik perlahan-lahan setinggi lutut. Banjir bandang adalah dinding air bercampur lumpur, batu besar dan batang balak yang meluru turun dari kawasan tanah tinggi, menyapu bersih apa saja di laluannya.

Di Aceh, beberapa daerah seperti Aceh Tamiang dan Aceh Utara lumpuh sepenuhnya. Ribuan rumah tenggelam, memaksa penduduk memanjat bumbung atau lari ke kawasan bukit semata-mata untuk menyelamatkan nyawa.

Menurut laporan Kompas, kerosakan infrastruktur di wilayah ini amat kritikal. Jambatan yang menjadi nadi penghubung antara kampung runtuh, memutuskan bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada mangsa terperangkap.

Sementara itu, situasi di Sumatera Barat lebih mengerikan. Di kaki Gunung Marapi, banjir bandang membawa bersama lahar dingin, mengubah aliran sungai yang tenang menjadi arus pembunuh dalam sekelip mata.

Penduduk di daerah Agam dan Tanah Datar menceritakan detik cemas apabila bunyi guruh seperti pesawat terhempas kedengaran di tengah malam, diikuti terjahan air hitam pekat yang meruntuhkan dinding rumah mereka.

Jalan raya utama yang menghubungkan Padang dan Bukittinggi, dua kota ekonomi utama di wilayah ini, terputus akibat tanah runtuh dan jalan terbelah dua, menyebabkan aktiviti ekonomi lumpuh.

Pihak Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia kini bertungkus-lumus di lapangan, namun skala kemusnahan kali ini jelas menguji kemampuan logistik dan sumber manusia mereka. Malah, bantuan makanan juga terpaksa disalurkan secara jatuhan udara.

Apa yang membimbangkan kerajaan Indonesia bukan sekadar jumlah kerugian harta benda semasa, tetapi makna tersirat di sebalik frekuensi bencana yang semakin kerap ini.

Menteri-menteri dan pakar alam sekitar mula menyuarakan kebimbangan kejadian di Sumatera ini loceng amaran atau petanda awal kepada malapetaka iklim yang jauh lebih serius di rantau Asia Tenggara.

Faktor perubahan iklim global tidak boleh dinafikan. Peningkatan suhu permukaan laut di sekitar Indonesia telah menyebabkan penyejatan tinggi, membawa kepada curahan hujan ekstrem yang melampaui kapasiti tanah menyerap air.

Pembalakan haram dan penukaran fungsi hutan di kawasan tadahan air hulu sungai menghilangkan span semula jadi yang sepatutnya memperlahan aliran air hujan.

Di Aceh dan Sumatera Barat, pembukaan ladang sawit dan perlombongan haram di lereng bukit curam menjadikan tanah tidak stabil, sedia untuk runtuh apabila hujan lebat.

Kerajaan Indonesia kini sedar pendekatan reaktif seperti menghantar bantuan selepas bencana, tidak lagi memadai. Kos pemulihan setiap tahun menelan belanja trilion rupiah, jauh lebih tinggi berbanding kos pencegahan.

Kebimbangan utama jika corak ini berterusan, sebahagian besar kawasan rendah di pesisir Sumatera mungkin tidak lagi selamat didiami dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

Langkah pertama dan paling kritikal mengatasi masalah ini adalah penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

Kerajaan perlu berani ‘mengharamkan’ pembinaan penempatan atau aktiviti komersial di zon merah bencana, walaupun langkah ini tidak popular di mata penduduk atau pelabur.

Kedua, sistem amaran awal berasaskan komuniti perlu diperkasakan. Teknologi canggih tidak berguna jika maklumat tidak sampai kepada penduduk di hulu sungai tepat pada masanya. Pemasangan sensor paras air dan siren di sungai kritikal perlu diperbanyakkan dan penduduk perlu dilatih secara berkala agar mereka tahu ke mana harus lari apabila siren berbunyi. Ketiga, program penghutanan semula mesti dilakukan secara agresif dan bukan sekadar gimik politik. Pokok berakar tunjang di kawasan cerun bukit berfungsi sebagai benteng pertahanan terbaik menentang tanah runtuh. Selain itu, infrastruktur kejuruteraan seperti Sabodam (empangan penahan serpihan) perlu dibina di sungai yang berisiko membawa lahar dingin atau kayu balak bagi menahan impak fizikal sebelum air sampai ke kawasan perumahan.

Pendidikan alam sekitar juga perlu diterapkan kepada generasi muda. Kesedaran sungai bukan tempat pembuangan sampah dan hutan pelindung nyawa mesti ditanam sejak di bangku sekolah.

Kerjasama rentas sempadan juga penting. Sebagai jiran terdekat, Malaysia dan negara ASEAN lain perlu berkongsi data meteorologi dan teknologi mitigasi bencana, kerana awan hujan tidak mengenal sempadan negara. Di peringkat komuniti, kearifan tempatan perlu dicontohi di mana generasi terdahulu di Nusantara sering membina rumah panggung untuk mengelak banjir, satu konsep yang mungkin perlu diadaptasi semula dalam seni bina moden.

Bagi sektor korporat, terutamanya syarikat perladangan, mereka mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya jika kawasan konsesi mereka didapati menjadi punca kepada kegagalan tadahan air.

Tanpa tindakan drastik dan holistik ini, Sumatera berisiko menjadi monumen kegagalan manusia mengurus alam sekitar. Banjir bandang kali ini mungkin besar, tetapi ia mungkin hanyalah permulaan kepada senario lebih menakutkan.

Tanpa tindakan drastik, kita mungkin akan mendengar kejadian sama yang tidak perlu mengambil masa 10 tahun untuk berulang lagi.

Kejadian kali ini mengakibatkan lebih 800 orang terkorban dan lebih 600 hilang.

Begitulah rapuhnya nyawa manusia di saat bencana berlaku dan sudah pasti kita tidak mahu ia menelan lebih banyak jiwa pada masa depan.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top