TIMBUL RISIKO EKONOMI PENGGUNA

TIMBUL RISIKO EKONOMI PENGGUNA

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur

Ledakan penggunaan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) dan pembiayaan digital membuka ruang keuntungan baharu kepada institusi kewangan namun di sebalik pertumbuhan itu, paras hutang rakyat yang mencecah bilion ringgit menimbulkan risiko kepada ekonomi pengguna.

Pendedahan Timbalan Menteri Kewangan mengenai jumlah hutang tidak berbayar atau tertunggak sebanyak RM551.8 juta, selain paras hutang BNPL yang mencecah RM4.2 bilion, menunjukkan corak kewangan rakyat semakin bergantung kepada kemudahan kredit dan transaksi atas talian.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, angka itu menunjukkan rantaian hutang pengguna bergerak lebih pantas berbanding keupayaan membayar balik, sekali gus membuka ruang manfaat daripada caj kewangan kepada penyedia kredit.

Katanya, trend peningkatan hutang berlaku seiring ledakan platform jualan atas talian dan kemudahan digital yang mendorong pengguna berbelanja melebihi kemampuan terutamanya melalui kad kredit dan BNPL.

“Apabila pengguna berbelanja menggunakan kad kredit atau BNPL, bank mendapat keuntungan daripada pola pembayaran yang terdedah kepada kelewatan atau penstrukturan semula hutang.

“Semakin tinggi komitmen hutang, semakin besar pulangan kepada institusi kewangan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, sesetengah bank menawarkan pembiayaan baharu bagi ‘menutup’ hutang lama namun hakikatnya menjadikan tempoh pembayaran lebih panjang, menyebabkan pengguna terus bergantung kepada kredit bulanan.

Menurutnya, walaupun produk seperti cash-lite dipasarkan sebagai solusi meringankan beban, manfaat sebenar hanya dirasai segmen yang berpendapatan tinggi.

“Manakala golongan muda dan M40 berdepan risiko perangkap hutang selepas mula bekerja atau membina keluarga,” katanya.

Mohd Faisol berkata, situasi itu perlu ditangani awal kerana peningkatan hutang isi rumah yang tidak seimbang dengan pendapatan boleh menjejaskan kestabilan ekonomi serta membawa tekanan sosial.

“Kita tidak mahu budaya ‘biar papa asal bergaya’ terus membiak. Pengguna perlu beralih kepada amalan menabung, melabur dan berbelanja secara berhemah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top