sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: PDRM FC terus dirundung malang apabila dihadiahkan kekalahan kelima berturut-turut selepas tumbang 1-4 di tangan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), hari ini.
Kemenangan itu membolehkan Sabah FC melakar kemenangan kedua pada musim ini sekali gus menghimpun 10 mata selepas 10 perlawanan.
Aksi seimbang diperagakan kedua-dua pasukan dengan mereka tercari rentak namun Sabah FC terpaksa menunggu sehingga hujung babak pertama untuk membuka jaringan.
Penyudah Darren Lok pada minit ke-44 menyaksikan pelawat menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol.
Bersambung babak kedua, Sabah FC terus garang dengan gol kedua menerusi jaringan Miguel Cifuentes pada minit ke-54 sebelum Ajdin Mujagic meledak gol ketiga enam minit berselang.
Tuan rumah mengurangkan defisit pada minit ke-74 menerusi sepakan penalti Agbre Noel namun Sabah FC kembali berkelebihan tiga gol dengan jaringan keempat menerusi sepakan penalti Fergus Tierney.
Selepas ini, PDRM FC akan berdepan Penang FC di tempat lawan sementara Sabah FC yang juga finalis Piala FA musim ini akan menentang DPMM FC di laman sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd



