rnoraina@hmetro.com.my
Serdang: Perubahan besar dalam dunia pendidikan yang beralih kepada teknologi dan digital, turut memberi tempias besar buat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia realiti baharu yang mesti dihadapi KEMAS sebagai institusi pembangunan komuniti paling dekat di hati rakyat.
“Anak-anak yang kita didik hari ini membesar dalam dunia digital. Mereka terdedah kepada telefon pintar, video interaktif dan teknologi sejak usia dua atau tiga tahun.
“Tabika dan taska tidak lagi boleh bergantung pada pendekatan lama semata-mata.
“Kita perlu memastikan pembelajaran awal lebih kreatif, interaktif dan sesuai dengan generasi baharu tanpa meninggalkan nilai, adab serta akhlak yang menjadi tunjang pendidikan KEMAS,” katanya pada Majlis Perasmian Festival KEMAS (Fesma) 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, malam ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang serta Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.
Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2026 meneruskan transformasi digital SmartClassroom@KEMAS yang menggunakan teknologi, modul STREAM dan bahan interaktif.
Katanya, daripada hanya dua kelas rintis pada tahun ini akan berkembang kepada 14 kelas pada 2026 dan 125 kelas pada 2027.
Beliau berkata, peranan warga KEMAS jauh lebih besar daripada mendidik di kelas sebaliknya perlu menjadi fasilitator komuniti, kaunselor keluarga, pemimpin tempatan, penggerak ekonomi desa dan penyelesai masalah rakyat.
Kata beliau, keperluan pendidikan inklusif turut menjadi cabaran kerana semakin ramai kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan intervensi awal, sokongan terapi dan pendekatan pembelajaran lebih tersusun.
“KEMAS tidak boleh tertinggal dalam menyediakan pendidikan yang adil, inklusif dan mudah diakses kerana setiap anak tanpa mengira latar belakang atau kemampuan, berhak mendapat peluang yang sama untuk berjaya,” katanya.
Tambahnya, perubahan masyarakat desa juga semakin kompleks dengan pelbagai isu baharu kemiskinan relatif, peluang pekerjaan terhad, penghijrahan belia dan perubahan sosioekonomi yang memerlukan program pembangunan lebih relevan, lebih praktikal serta berpandangan jauh.
Justeru, katanya, usaha menambah baik elaun warga KEMAS sentiasa diperjuangkan demi mengiktiraf perjuangan mereka membina negara, membentuk generasi baru dan menjamin masyarakat desa.
“Elaun Pembantu Pendidikan KEMAS sudah dinaikkan sebanyak RM300, namun saya faham ia masih belum mencukupi.
“Elaun ini perlu terus ditambah baik dan kedudukan petugas kontrak KEMAS pula mesti diberi perhatian serta pembelaan segera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




