am@hmetro.com.my
Kajang: Penantian penuh pilu keluarga seorang remaja yang hilang sejak tiga hari lalu berakhir apabila mayatnya ditemui petang tadi selepas dilaporkan lemas ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana.
Mangsa, Khalish Shahdan, 14, ditemui dalam takungan air berhampiran sebuah pasar raya di Prima Saujana selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan bau mencurigakan di kawasan berkenaan.
Mayat remaja itu dikeluarkan pada 8.45 malam sebelum dibawa ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.
Tinjauan di lokasi mendapati ahli keluarga mangsa berkumpul sejak petang bagi mengikuti perkembangan operasi SAR.
Ibu saudara mangsa, Nor Zieta Ibrahim, 39, berkata ahli keluarga bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan penemuan mayat sekitar jam 5 petang.
Menurutnya, keluarga bersyukur kerana akhirnya mayat Khalish ditemui selepas menanti dengan penuh debaran selama tiga hari.
“Sepanjang tempoh ini, ahli keluarga mengadakan doa tahlil dan solat hajat supaya urusan pencarian dipermudahkan.
“Penemuan ini sedikit sebanyak meredakan keresahan ibu bapa mangsa yang kehilangan dua anak sekali gus,” katanya.
Kejadian pada Khamis lalu itu membabitkan dua kanak-kanak lelaki bersaudara berusia 12 dan 14 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar sebelum dihanyutkan arus deras.
Mayat Qayyum Shaqeel, 12, ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi terjatuh pada malam kejadian di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan pada 7.47 malam.
Berita berkaitan:
Dah tiga hari dihanyutkan, mangsa remaja masih gagal ditemui
Operasi SAR remaja hanyut ketika cuba ambil bola disambung pagi ini
Kes lemas di Taman Prima Saujana: Adik meninggal dunia di hospital, abang masih hilang
Kanak-kanak, remaja dilapor hanyut dibawa arus
© New Straits Times Press (M) Bhd




