saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Ancaman jenayah kewangan membabitkan keldai akaun terus menunjukkan peningkatan, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu.
Berdasarkan data rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 173,224 akaun keldai dikenal pasti daripada tahun 2022 hingga Julai 2025, menjadikan sindiket penipuan kewangan sebagai antara bentuk jenayah paling agresif berkembang di negara ini.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, trend itu disifatkan sebagai ‘gelombang ketiga’ penipuan digital selepas penipuan pelaburan dan perdayaan.
“Lebih membimbangkan, sehingga 21 Julai lalu, PDRM mengesahkan 39,006 kes keldai akaun direkodkan di seluruh negara dengan 10,635 kes sudah dibawa ke mahkamah, menggambarkan skala penyalahgunaan akaun bank oleh sindiket yang semakin sofistikated dalam menyembunyikan aliran wang.
“Dalam tempoh 2024 sahaja, 51,197 kes direkodkan, membabitkan lebih 33,000 pemilik akaun yang digunakan untuk menerima atau memindahkan wang hasil penipuan pelaburan, e-dagang dan penggubahan wang haram,” katanya.
Beliau berkata, kempen pencegahan melalui portal Semak Mule pula menunjukkan peningkatan kesedaran rakyat, apabila portal berkenaan mencatat lebih 37 juta pelawat sejak dilancarkan.
Namun, PDRM menegaskan kesedaran itu belum cukup untuk mengekang sindiket yang terus memanipulasi orang ramai melalui iklan kerja sambilan, pinjaman segera dan aktiviti dalam talian.
“Dalam operasi bersepadu besar-besaran bulan September lalu, dua siri tindakan Operasi Mule Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dan Operasi Merpati berjaya menahan lebih 2,000 individu yang dipercayai terbabit secara langsung sebagai pemilik akaun keldai atau sebagai operator pusat panggilan sindiket.
Untuk rekod, Operasi Mule NSRC pada 22 hingga 28 Sept lalu, sebanyak 1,303 tangkapan menerusi 778 kertas siasatan.
Operasi Merpati yang dilaksanakan pada 2 hingga 12 September berjaya menahan 790 individu kerana memiliki akaun bank digunakan untuk penipuan e-dagang, manakala 30 lagi dipercayai anggota pusat panggilan.
Beliau menyifatkan fenomena keldai akaun sebagai ancaman keselamatan ekonomi negara kerana sindiket menjadikan akaun bank pengguna sebagai laluan utama melupuskan wang scam.
“Mereka yang menyerahkan akaun walaupun mendakwa ‘tidak tahu menahu’ tetap boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang pengubahan wang haram.
“Pengguna berdepan risiko bahawa akaun yang dipinjamkan kepada orang lain untuk transaksi kewangan mencurigakan berisiko menerima tindakan undang-undang termasuk pembekuan akaun bank, senarai hitam institusi kewangan, serta hukuman penjara jika didapati bersubahat.
“Isu keldai akaun yang dilihat “tiada kesudahan” ini kini menjadi medan baharu jenayah terancang, dan pihak berkuasa menegaskan bahawa penguatkuasaan sahaja tidak cukup rakyat sendiri mesti berhenti menjadi alat kepada sindiket,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




