lizamridzuan@hmetro.com.my
Industri automotif Malaysia melakar sejarah baharu apabila PERODUA secara rasmi melancarkan kenderaan elektrik bateri (BEV) pertamanya yang dikeluarkan secara tempatan, QV-E sekali gus menandakan permulaan era baharu automotif negara.
Model ini bukan sekadar satu lagi penambahan kepada pasaran EV yang semakin berkembang, tetapi adalah satu langkah berani daripada pengeluar kereta nasional untuk merealisasikan mobiliti hijau, menjadikannya boleh diakses oleh rakyat Malaysia pada harga mampu milik RM80,000.
QV-E dibangunkan hasil pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) domestik bernilai kira-kira RM800 juta, menunjukkan komitmen mendalam PERODUA terhadap lokalisasi dan pembangunan bakat tempatan dalam teknologi EV.
Menerusi harga asas yang menarik, model ini diletakkan sebagai ‘EV Rakyat’ pertama, bertujuan menarik pembeli kali pertama EV yang mungkin teragak-agak dengan kos permulaan yang tinggi bagi model import sepenuhnya (CBU) yang lain di pasaran.
Ciri paling inovatif yang diperkenalkan bersama QV-E ialah skim pemilikan ‘Battery-as-a-Service’ (BaaS) yang wajib dilanggan.
PERODUA memisahkan kos bateri daripada harga jualan kenderaan dan pembeli memiliki kereta pada harga RM80,000 manakala bateri disewa daripada Perodua pada kadar bulanan kira-kira RM275 selama tempoh sembilan tahun.
Model perniagaan ini adalah pengubah permainan yang berpotensi untuk menghapuskan kebimbangan utama pengguna mengenai kos penggantian bateri dan isu nilai jualan semula.
Di bawah kerangkanya, QV-E menawarkan prestasi yang mengagumkan dengan motor elektrik pacuan roda hadapan (FWD) yang menjana 150 kW kuasa (bersamaan 201 hp) dan tork puncak 285 Nm.
Kuasa ini membolehkan EV sportback ini memecut daripada 0 hingga 100 km/j dalam hanya 7.5 saat, menjadikannya model PERODUA produksi terpantas yang pernah dihasilkan setakat ini, menawarkan pengalaman pemanduan yang lincah dan responsif.
Untuk jarak perjalanan, PERODUA melengkapkan QV-E dengan pek bateri LFP (Lithium Iron Phosphate) berkapasiti 52.5 kWh yang dibekalkan oleh gergasi teknologi China, CATL.
Bateri ini menjanjikan jarak capaian sehingga 445km mengikut kitaran ujian NEDC dan dalam penggunaan dunia sebenar (anggaran WLTP), pengguna boleh menjangkakan jarak yang selesa sekitar 370-380km dengan sekali cas penuh, lebih daripada mencukupi untuk perjalanan harian di bandar dan perjalanan hujung minggu antara negeri.
Aspek pengecasan juga diambil kira dengan baik. QV-E menyokong pengecasan pantas arus terus (DC fast charging) sehingga 60 kW, membolehkan bateri dicas dari 30% ke 80% dalam masa kira-kira 30 minit sahaja.
Bagi pengecasan di rumah atau di stesen AC awam, ia menyokong pengecasan arus ulang-alik (AC charging) 6.6 kW, yang mengambil masa kira-kira lapan jam untuk cas penuh dari 0%. Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) turut disertakan, menambah utiliti kenderaan untuk aktiviti luar.
Untuk segi reka bentuk, QV-E menampilkan profil sportback lima pintu yang moden dan aerodinamik dan dimensinya sedikit lebih besar daripada Perodua Myvi dan setanding dengan ciri kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover segmen B, dengan panjang 4,170mm dan jarak roda 2,680mm yang luas.
Ia menawarkan ruang kabin yang selesa untuk penumpang hadapan dan belakang. Reka bentuk luaran yang tajam dan kontemporari dan futuristik pasti akan menarik perhatian generasi muda.
Memasuki kabin, pemandu akan disambut oleh susun atur digital sepenuhnya yang mencerminkan era moden. QV-E menawarkan tiga paparan digital, termasuk kluster instrumen digital 10.25 inci dan skrin infohibur sentuh 10.25 inci.
Sistem infotainmen ini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, memastikan keterhubungan yang lancar serta ciri kemewahan lain seperti tempat duduk pemandu berkuasa elektrik dan lampu suasana kabin turut disertakan.
Keselamatan kekal menjadi keutamaan PERODUA dengan QV-E dilengkapi dengan rangkaian penuh sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).
Ciri keselamatan inovatif kali pertama dalam barisan Perodua ialah sistem Pengesanan Kehadiran Kanak-kanak (Child Presence Detection – CPD), yang menggunakan sensor untuk mengesan pergerakan atau tanda vital di tempat duduk belakang, memberikan ketenangan fikiran tambahan kepada ibu bapa.
Dengan pakej lengkap yang merangkumi harga mampu milik serta BaaS, prestasi EV yang mengujakan, jarak pemanduan yang praktikal, dan jaminan komprehensif (6 tahun untuk kenderaan, 8 tahun untuk unit pemacu elektrik), Perodua QV-E bersedia untuk memacu agenda mobiliti hijau Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




