Rumah tangga menjadi 'topeng'

Rumah tangga menjadi 'topeng'

Serbuan ke atas sebuah gimnasium dan sauna yang dijadikan sarang buat lelaki songsang melampiaskan nafsu songsang minggu lalu mengejutkan kita semua.

Ramai memberikan reaksi meminta pihak berwajib mengambil tindakan tegas agar kegiatan tidak bermoral ini dibendung segera.

Penolong Pengarang Berita, YUSMIZAL DOLAH ALING mendapatkan Perunding Keluarga, DR MAHMUD JUMAAT untuk mengupas permasalahan berkenaan dalam Kafe Ahad minggu ini.

Berdasarkan kes yang diterima sebelum ini, bagaimana sesebuah rumah tangga dijadikan faktor untuk mengaburi mata orang lain bagi melindungi aktiviti songsang?

Dalam kebanyakan kes, institusi rumah tangga sering dijadikan sebagai topeng untuk mengaburi mata pihak lain di mana pelaku akan menampilkan imej keluarga yang kononnya stabil dan berakhlak semata-mata bagi melindungi serta menyembunyikan aktiviti songsang yang dijalankan secara tersembunyi.

Dengan memanfaatkan persepsi masyarakat bahawa individu berkeluarga adalah lebih dipercayai dan bermoral. Pelaku berjaya mengelakkan syak, mengawal naratif serta mewujudkan gambaran seolah-olah tiada apa-apa kelakuan tidak wajar berlaku.

Apakah ada kes isteri memberi peluang kedua kepada suami? Apakah yang berlaku kepada rumah tangga mereka selepas itu?

Terdapat beberapa pengalaman dalam guaman dan laporan kaunseling di mana seorang isteri memilih untuk memberikan peluang kedua kepada suaminya selepas berlakunya salah laku sama ada membabitkan ketidaksetiaan, penipuan atau tingkah laku tidak wajar yang menjejaskan rumah tangga.

Namun kesannya terhadap hubungan perkahwinan selepas peluang diberikan adalah berbeza-beza di mana ada pasangan yang berjaya memulihkan semula hubungan dengan lebih stabil melalui perubahan tingkah laku yang konsisten, komunikasi yang lebih terbuka dan sokongan emosi yang mencukupi.

Ada yang memilih untuk bertahan kerana sayangkan perkahwinan?

Berdasarkan kes diterima, ada segelintir hanya kekal bersama secara luaran tanpa pemulihan sebenar di mana kepercayaan tidak kembali sepenuhnya dan hubungan berlangsung dalam keadaan renggang serta penuh syak wasangka.

Dalam banyak kes lain pula, peluang kedua tersebut tidak membawa perubahan yang diharapkan apabila suami kembali mengulangi perbuatan sama seterusnya menyebabkan hubungan rumah tangga semakin merosot sehingga akhirnya membawa kepada perpisahan atau perceraian.

Oleh itu, keberkesanan peluang kedua amat bergantung kepada kejujuran perubahan, kesediaan kedua-dua pihak menangani isu secara tuntas, serta ketiadaan unsur manipulasi atau tekanan emosi.

Jika didapati suami terjebak gejala songsang, apakah langkah terbaik yang boleh diambil seorang isteri?

Isteri tidak wajib terus kekal dalam perkahwinan tersebut, malah Islam memberi ruang untuk menjaga diri, meminta bantuan atau memohon cerai jika keselamatan dan maruah terancam seperti yang pernah disabda oleh Rasulullah SAW dalam hadis Riwayat Ibn Majah;

“Tidak boleh melakukan mudarat dan tidak boleh dibalas dengan mudarat”, jika suami melakukan sesuatu yang memudaratkan isteri, maka isteri berhak mencari jalan keluar untuk melindungi diri termasuk meninggalkan, melapor atau memohon fasakh.

Sekiranya seorang isteri mendapati bahawa suaminya terjebak dalam gejala songsang, langkah yang paling wajar dan berhati-hati untuk diambil adalah dengan terlebih dahulu memastikan keselamatan diri serta anak-anak diikuti dengan mengumpulkan maklumat dan bukti secara tenang.

Pada masa sama, isteri hendaklah mendapatkan nasihat guaman secara sulit bagi memahami hak-haknya serta opsyen undang-undang yang tersedia di samping mendapatkan pandangan profesional seperti kaunselor untuk menilai sama ada hubungan tersebut masih selamat dan berpotensi dipulihkan.

Selepas semua faktor ini dinilai, isteri hendaklah membuat keputusan yang terbaik berdasarkan keselamatan, maruah serta kesejahteraan jangka panjang. Sama ada isteri memilih untuk memberi peluang kepada suami atau mempertimbangkan jalan perpisahan sekiranya didapati tingkah laku tersebut berterusan atau boleh membahayakan emosi serta masa depan keluarga.

Apakah nasihat tuan kepada masyarakat di luar sana dalam usaha mendepani gejala tidak sihat ini?

Nasihat saya kepada masyarakat di luar sana dalam gejala tidak sihat ini adalah agar setiap individu sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku orang sekeliling, berani mendapatkan bantuan profesional apabila terdapat tanda-tanda salah laku serta tidak mengambil mudah isu-isu yang boleh menggugat keselamatan, maruah dan kesejahteraan keluarga.

Masyarakat juga perlu mengutamakan pendidikan moral, kesedaran emosi dan sokongan komuniti supaya gejala seperti ini dapat dikesan lebih awal, diurus secara berhemah dan tidak dibiarkan berlarutan sehingga menjejaskan institusi rumah tangga.

Pada masa yang sama, kita hendaklah mengelakkan penyebaran fitnah atau stigma sebaliknya menekankan pendekatan yang bertanggungjawab, beretika dan berlandaskan fakta agar setiap isu dapat ditangani dengan lebih matang dan berkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top