PATI remaja 'kantoi' pandu SUV majikan

PATI remaja 'kantoi' pandu SUV majikan

Gombak: Tindakan berani seorang remaja perempuan warga Myanmar memandu sejauh lebih 40 kilometer tanpa sebarang dokumen sah akhirnya memakan diri apabila dia ditahan pihak berkuasa, hari ini.

Remaja berusia 16 tahun itu dikesan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV milik majikannya untuk ke rumah neneknya di Selayang.

Tindakannya itu terbongkar selepas dia ditahan dalam Op Bersepadu yang diselaraskan oleh Jawatankuasa Majlis Keselamatan Negeri (MKN) di sini.

Ketika disoal siasat, remaja terbabit mendakwa dia sering memandu kenderaan berkenaan dan dalam perjalanan bersama sepupunya.

“Saya baru belajar kereta, tiada lesen dan kereta yang dinaiki adalah milik majikan. Saya tahu saya salah, tapi saya bukan memandu berseorangan, saya bersama sepupu saya,” katanya ketika ditemui.

Remaja berkenaan adalah antara 843 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan dalam operasi besar-besaran berkenaan yang bermula kira-kira 10 malam tadi.

Secara keseluruhannya, 1,116 individu diperiksa secara menyeluruh. Daripada jumlah itu, 843 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Operasi berjaya menahan warga Myanmar, 647 orang (617 lelaki, 30 wanita); Nepal: 102 orang; Bangladesh: 79 orang; Indonesia: 15 orang (10 lelaki, 5 wanita); India: 10 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top