mdroji@bh.com.my
Kuching: Dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan hilang di Kampung Pasir Pandak di sini, sejak pagi semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kehilangan kedua-duanya disedari selepas mereka tidak pulang ke selepas bermain di rumah nenek mereka.
Menurutnya, berdasarkan keterangan keluarga, kedua-duanya dilihat kali terakhir kira-kira 9 pagi ketika bermain bersama sepupu.
“Lokasi rumah nenek mereka hanya terletak kira-kira 50 meter dari kediaman keluarga kanak-kanak terbabit.
“Bapa salah seorang budak itu menyedari kehilangan dua kanak-kanak itu hilang kira-kira 11 pagi apabila mendapati mereka tidak berada di tempat bermain,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penduduk kampung serta ahli keluarga segera melancarkan usaha pencarian di sekitar kampung sebaik kehilangan kanak-kanak itu disedari.
“Namun, pencarian awal tidak menemukan sebarang petunjuk mengenai keberadaan kedua-dua kanak-kanak itu.
“Pada 6 petang, laporan polis dibuat selepas usaha mencari selama beberapa jam tidak membawa sebarang hasil,” katanya.
JBPM menerima maklumat kejadian itu daripada pihak polis pada 8 malam dan sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya diarah ke lokasi.
Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan di sekitar kampung yang terletak berhampiran pantai itu dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk kampung.
Bagaimanapun, sehingga 5 pagi ini, kanak-kanak terbabit masih gagal dikesan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




