Guru mangsa keganasan rumah tangga dikejar suami: JSPT siasat insiden kemalangan kereta

Guru mangsa keganasan rumah tangga dikejar suami: JSPT siasat insiden kemalangan kereta

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menyiasat insiden guru yang dikejar suami sehingga kereta dinaiki hampir terbabas selepas dilanggar lelaki itu kelmarin.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesahkan menerima maklumat berhubung kemalangan jalan raya membabitkan dua kereta di Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam pada jam 11.30 pagi kelmarin.

Menurutnya, laporan berhubung kemalangan itu dibuat pada hari sama jam 1.05 tengah hari.

“Kemalangan membabitkan sebuah Mercedes yang dipandu oleh lelaki berusia 28 tahun bersama adik perempuannya berusia 26 tahun dengan sebuah Proton X50 dipandu suami wanita itu.

“Siasatan awal mendapati semasa mangsa sedang memandu untuk membawa adik perempuannya (dalam proses menenangkan keadaan), adik iparnya meminta dia berhenti sebelum keretanya dilanggar dari arah belakang sehingga menyebabkan kerosakan di belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, dalam kejadian itu tiada kecederaan dilaporkan membabitkan mana-mana pihak.

“Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

“Saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan beri alasan mahu keluar buang sampah menyelamatkan seorang guru daripada terus dipukul suaminya di kediaman mereka di Salak Selatan, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, polis menerima laporan dibuat guru berusia 26 tahun jam 12.20 tengah hari kelmarin.

Menurutnya, mangsa dipukul suaminya ketika berada di kediaman mereka dan bagi mengelak terus dipukul dia memberi alasan keluar rumah untuk membuang sampah sebelum melarikan diri.

Menurutnya, abangnya cuba membantu adiknya melarikan diri namun bertembung dengan suami mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top