Tiang ada, lampu tak nyala!

Tiang ada, lampu tak nyala!

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Memandu pada waktu malam boleh mendatangkan kurang risiko kepada pengguna jalan raya, sekiranya keadaan jalan baik dan mempunyai pencahayaan yang mencukupi.

Namun bagi pengguna Lebuhraya Pasir Gudang yang juga jalan persekutuan FT17, mereka tetap bimbang melalui jalan sepanjang 30.3 kilometer (km) itu pada waktu malam kerana mendakwa gelap dan tiada lampu.

Ain Najihah Ahmad Mazlan, 26, berkata, terdapat beberapa kawasan di lebuh raya itu yang tidak berlampu, sekali gus mendatangkan kebimbangan berhubung jarak penglihatan pemanduan.

Katanya, pencahayaan yang kurang boleh meletakkan pemandu dalam risiko jika tidak peka kepada keadaan sekeliling terutama lubang dan halangan di atas jalan raya.

“Jika diikutkan sepanjang lebuh raya ini terdapat tiang lampu jalan, tetapi saya pelik kenapa ada di kawasan-kawasan tertentu di laluan itu, lampunya tidak menyala.

“Ia bukan masalah yang baharu, sudah berlarutan. Jika terdapat kerosakan pada lampu jalan, sepatutnya ia dibaiki segera.

“Pernah berlaku kemalangan di lebuh raya ini, memandangkan ada kawasan yang jalannya berlubang. Jadi apabila gelap, pengguna jalan raya tidak nampak lubang berkenaan,” katanya yang tinggal di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

Menurutnya, Lebuhraya Pasir Gudang antara laluan yang sibuk dan dia sendiri menggunakan laluan itu setiap hari untuk ke tempat kerja.

Ain Najihah berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah lampu jalan di kawasan yang masih gelap dengan segera bagi menjamin keselamatan pengguna.

Seorang lagi pengguna lebuh raya itu, Nurfatihah Zulhisham, 18, berkata, dia tidak selesa melalui kawasan gelap di lebuh raya itu kerana memikirkan risiko kemalangan yang mungkin berlaku.

“Setiap malam saya lalu kawasan ini, memang gelap sangat. Lampu ada, tapi tak hidup (bernyala). Kalau hujan lagi bahaya, langsung tak nampak jalan.

“Jika ada halangan orang buat jalan, lebih bahaya terutama kepada penunggang motosikal dan mungkin kepada pemandu yang tidak biasa dengan laluan ini,” katanya.

Terdahulu, wartawan turut meninjau lokasi didakwa penduduk dan mendapati ada beberapa kawasan yang gelap disebabkan lampu jalan tidak menyala.

Ada tiang lampu yang sekadar menjadi ‘perhiasan’ berbanding fungsi asalnya untuk menerangi sekitar, sekali gus mengurangkan jarak penglihatan pemandu.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top