Saya lagi kecewa daripada penyokong- Wan Rohaimi

Saya lagi kecewa daripada penyokong- Wan Rohaimi

sukan@hmetro.com.my

Georgetown: Kesilapan mudah terutama ketika melakukan hantaran belakang kepada penjaga gol menjadi punca skuad Penang FC diaibkan dengan kekalahan besar 1-5 di tangan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Ketua jurulatih Penang, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui anak buahnya turut dihukum akibat kelemahan mengawal serangan balas serta mengabaikan benteng pertahanan, meskipun mereka menunjukkan semangat untuk bangkit selepas ketinggalan 3-0.

“Saya tidak mahu memberi alasan atas kekalahan itu, tetapi saya sangat kecewa, separuh masa kedua kami ‘dibunuh’ kesilapan paling mudah apabila pemain menghantar bola kepada penjaga gol tetapi dipintas penyerang lawan.

“Ya, pemain cuba menekan lawan di kawasan mereka tetapi pada masa sama perlu jaga di bahagian belakang. Saya harap pemain belajar dan tidak mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Wan Rohaimi, berkata keadaan menjadi lebih malang apabila setiap satu sepakan sudut dan serangan balas dilakukan Selangor berjaya menghasilkan gol ditambah pengalaman Faisal Halim yang bijak memanfaatkan situasi itu memberi kelebihan buat pasukan pelawat.

Beliau ketika diminta mengulas kekecewaan penyokong susulan keputusan buruk itu berkata akan melakukan rombakan besar-besaran dalam usaha memperbaiki prestasi pasukan yang menghuni tangga terakhir liga ketika ini.

“Saya faham kekecewaan semua, saya lagi kecewa daripada mereka. Saya akan buat sesuatu termasuk rombakan secara besar-besaran nanti InsyaAllah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top