Madrid: Datang lambat ke tempat kerja boleh menjadi salah satu alasan untuk dipecat, namun lain pula berlaku kepada seorang wanita Sepanyol apabila alasan pemecatannya kerana dia sering datang terlalu awal.
Wanita itu dibuang kerja selepas berulang kali mengabaikan amaran majikan supaya tidak datang terlalu awal.
Dia bekerja dengan sebuah syarikat penghantaran di bandar pelabuhan Alicante dan biasanya tiba di tempat kerjanya antara jam 6.45 hingga 7 pagi, walaupun kontrak kerja menetapkan waktu bertugas bermula jam 7.30 pagi.
Disebabkan muncul awal di tempat kerja, wanita muda itu akan bertugas lebih awal daripada rakan sekerjanya, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang pengurus.
Dia pertama kali diberi amaran mengenai tabiat itu pada 2023, tetapi tidak mengendahkannya, sehinggalah pada awal tahun ini, majikan memutuskan untuk memecatnya atas alasan ‘salah laku serius’.
Majikan berkata, pekerja tidak mempunyai tugas untuk dilaksana apabila datang awal, dan dengan itu tidak menyumbang kepada syarikat.
Namun, wanita terbabit tidak melihat dari sudut pandang itu dan mencabar syarikat di mahkamah sosial Alicante.
Apa yang mengejutkan wanita terbabit apabila mahkamah menyokong hujah majikan, menegaskan bahawa dengan mengabaikan amaran pihak pengurusan secara berulang kali, wanita itu menunjukkan tingkah laku yang memberi impak negatif terhadap hubungan majikan-pekerja.
“Tingkah laku pekerja menjejaskan hubungan, kepercayaan dan kesetiaan kerana walaupun selepas amaran syarikat, pengadu bertegas masuk (bekerja) sebelum masa yang ditetapkan,” menurut keputusan mahkamah.
Mahkamah menganggap tingkah laku pekerja itu sebagai serius untuk dikategorikan dalam salah laku berat termasuk ketidaksetiaan, pecah amanah dan ketidakpatuhan, justeru mewajarkan penamatan hubungan pekerjaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




