mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah mengakui pasukannya hanya boleh menyalahkan diri sendiri selepas tunduk kepada DPMM FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah malam tadi.
Yusri berkata kekalahan itu perlu diterima dengan hati terbuka selain menyifatkannya sebagai ketentuan yang sudah tersurat.
“Apa pun, kita perlu menilai kembali segala jaringan yang kita berikan kepada DPMM pada pada malam ini. Seharusnya kita boleh elakkan.
“Pada masa yang sama, saya perlu menekankan di sini supaya para pemain perlu menilai kembali tahap konsentrasi mereka, fokus, kekuatan mental apabila membiarkan tiga jaringan dilakukan dalam masa enam minit,” katanya.
Namun, beliau tetap memuji semangat pemain yang kembali lebih tersusun pada babak kedua meskipun kedudukan sudah sukar dikejar.
“Kita cuba bangkit pada separuh masa kedua. Cuma jaringan keempat yang kita lepaskan terus membunuh perjuangan pasukan,” katanya.
Yusri berharap kekalahan itu menjadi pengajaran besar kepada pemain untuk tampil lebih matang dan disiplin dalam perlawanan akan datang.
Pada perlawanan malam tadi menyaksikan DPMM berjaya mengenggam tiga mata selepas menumpaskan Imigresen FC 4-2.
Gol tuan rumah disumbangkan Azwan Ali, Miguel Oliveira dan Hakeme Yazid pula mencetak dua jaringan, manakala dua jaringan imigresen pula disumbangkan Wilmar Jordan Gil.
© New Straits Times Press (M) Bhd



