Kuala Lumpur: Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM), anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM), berjaya mengambil alih Spirit AeroSystems Malaysia Sdn Bhd (Spirit MY).
Perkembangan ini menyusuli kelulusan yang diperoleh daripada pemegang saham DRB-HICOM pada 14 November 2025 serta kebenaran Suruhanjaya Eropah dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat yang diumumkan masing-masing pada 14 Oktober 2025 dan 3 Disember 2025.
DRB-HICOM dalam kenyataan berkata, pengambilalihan ini menyediakan peluang strategik untuk meningkatkan lagi kedudukan daya saing CTRM dalam industri aeroangkasa dengan memperkukuh kepakaran aerostrukturnya.
“Langkah ini bakal menyumbang kepada peningkatan skala, kecekapan dan pertumbuhan dalam pelbagai bidang yang akan melonjakkan kehadiran CTRM dalam program aeroangkasa utama serta mengeratkan hubungan dengan Pengeluar Peralatan Asal (OEM) global.
“Ia turut memperluaskan hubungan CTRM dengan Airbus bagi program A220, A320, dan A350, serta dengan Boeing bagi program 737 dan 787,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi pengambilalihan Spirit MY, Kumpulan CTRM akan memiliki platform lebih kukuh untuk melaksanakan penambahbaikan berterusan, disiplin operasi dan memacu penciptaan nilai jangka panjang bagi pemegang saham.
“Gabungan organisasi ini mewujudkan kapasiti lebih besar bagi pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja, kemajuan teknologi dan inisiatif kemampanan.
“Kesemua elemen ini adalah faktor penting bagi memenuhi permintaan industri masa depan serta menjamin peranan CTRM sebagai pemain aeroangkasa yang berdaya tahan dan bersedia mendepani cabaran akan datang,” katanya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, DRB-HICOM bercadang membeli keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Spirit MY berharga AS$110.62 juta, meningkat daripada anggaran nilai perusahaan sebelumnya sebanyak AS$95.2 juta.
DRB-HICOM melalui penasihat utamanya AmInvestment Bank Bhd berkata perbezaan harga itu berikutan jumlah tunai tambahan sebanyak AS$16.94 juta, ditolak keberhutangan sebanyak AS$1.52 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




