Ottawa: Bekas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan bintang terkenal, Katy Perry mengumumkan hubungan mereka di Instagram (IG) selepas Perry memuat naik gambar mereka saling tersenyum dan makan sushi bersama ketika berada di Jepun.
Hantaran itu seperti mengesahkan hubungan mereka selepas berbulan-bulan spekulasi mengenai percintaan antara penyanyi dan bekas perdana menteri negara itu.
Swafoto berkenaan adalah sebahagian daripada siri gambar dan video dari lawatan ke Jepun yang dimuat naik Perry ke akaun IG yang memiliki 202 juta pengikut, Sabtu lalu.
Trudeau sebelum itu berkongsi semula foto mereka bersama bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan isterinya, Yuko di X pada Khamis.
“Seronok bertemu dengan anda @kishida230. Katy dan saya sangat gembira berpeluang duduk bersama anda dan Yuko,” tulisnya di X.
Pengumuman itu meraih pelbagai reaksi peminat selepas pasangan berkenaan tidak membuat kenyataan terbuka berhubung status hubungan mereka.
Pada Julai, Perry dan Trudeau dilihat makan malam bersama di Montreal, sebelum Trudeau menyanyi lagu Firework di konsert Katy dua hari kemudian.
Mereka membuat penampilan umum pertama bersama pada Oktober apabila dirakam berpegangan tangan selepas menghadiri pertunjukan di Paris sempena ulang tahun Perry yang ke-41.
Trudeau berkhidmat sebagai Perdana Menteri Kanada dari 2015 hingga 2025, manakala Katy adalah calon Grammy 13 kali dan sudah mengeluarkan tujuh album studio dengan lagu hit termasuk California Gurls, Hot n Cold dan Roar.
Perry mempunyai seorang anak perempuan dengan pasangan terdahulu Orlando Bloom.
© New Straits Times Press (M) Bhd




