Penyenaraian Orkim perkukuh sinergi strategik Ekuinas dan PNB

Penyenaraian Orkim perkukuh sinergi strategik Ekuinas dan PNB

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Penyenaraian Orkim Berhad (Orkim) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad dilihat mampu memperkukuhkan sinergi antara Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam membangunkan perusahaan serta mengukuhkan penyertaan Bumiputera dalam pasaran modal.

Penyenaraian itu menjadi mercu jaya penting di bawah agenda GEAR-uP kerajaan yang menggalakkan penjajaran dan sinergi lebih luas dalam kalangan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk menambah baik penciptaan nilai jangka panjang bagi negara.

Menteri Kewangan II merangkap pemangku Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyenaraian Orkim menandakan satu langkah ke hadapan yang penting bagi ekosistem perusahaan Bumiputera.

“Ia mencerminkan bagaimana kerjasama strategik di antara GLIC kita mampu membina syarikat peneraju kebangsaan yang berdaya saing di persada dunia.

“Menerusi rangka kerja GEAR-uP, institusi seperti Ekuinas dan PNB berganding bahu untuk memajukan syarikat berpotensi tinggi dan menjamin pertumbuhan jangka panjang mereka, memastikan nilai ekonomi kekal di dalam negara,” katanya.

Selepas berkembang maju di bawah kepimpinan Ekuinas untuk menjadi pengendali kapal tangki Produk Petroliam Bersih (CPP) terbesar Malaysia dengan menguasai 56 peratus bahagian pasaran domestik, di antara kapal yang berdaftar di Malaysia, Orkim kini akan beralih kepada kepimpinan institusi jangka panjang PNB yang bersama dengan Dana-Dana Unit Amanahnya kini memegang kepentingan ekuiti 60 peratus selepas penyenaraian ini.

Peralihan lancar ini mencerminkan pelaksanaan sebenar ‘Bumiputera Relay Race’ iaitu satu pendekatan tersusun yang memastikan syarikat berwibawa terus berkembang maju di bawah teraju GLIC utama di Malaysia.

Selain itu, Orkim meraih dana berjumlah RM92 juta menerusi penyenaraian awam ini, yang mana akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada rancangan pembesaran angkatan kapal dan juga memenuhi keperluan modal kerja.

Daripada proses penyenaraian ini, Ekuinas dijangka menerima nilai kasar berjumlah RM828 juta daripada penyenaraian awam dan juga pemindahan saham daripada PNB, yang mana sejumlah RM350 juta akan diagihkan sebagai dividen kepada PNB yang akan memanfaatkan pemegang unit amanah.

Ekuinas akan menggunakan semula modal tertahan untuk pelaburan baharu dalam syarikat pasaran pertengahan Bumiputera, memastikan kitaran semula modal dan pertumbuhan perusahaan yang berterusan.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, penyenaraian Orkim membuktikan pelaksanaan Bumiputera Relay Race dan menekankan kejayaan inisiatif GEAR-uP.

“Dengan menyatukan sepenuhnya Orkim di bawah PNB, kami melindungi kesinambungan pemilikan Bumiputera menerusi setiap peringkat pertumbuhan sambil menjana pulangan lestari kepada pemegang unit kami.

“Mercu jaya ini membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi PNB kepada mandatnya dan menggalakkan kemakmuran jangka panjang bagi negara,” katanya.

Sejak pelaburan Ekuinas pada 2014, Orkim sudah berkembang menerusi pelan penciptaan nilai berstruktur dengan momentum yang semakin kukuh, terutamanya selepas memperolehi lima kapal CPP baharu dan kapal tangki julat pertengahan.

Menerusi usaha pemodenan dan pemulihan angkatan kapal, tadbir urus yang kukuh dan berdisplin serta perkembangan komersial dan juga kerjasama dengan pihak pengurusan yang mempunyai kepentingan ekuiti, Orkim mengukuhkan kedudukan sebagai pemilik-pengendali kapal tangki CPP terbesar di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat minyak terkemuka di rantau ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top