am@hmetro.com.my
Melaka: Demi memastikan diri sentiasa cergas bagi menghadapi tugas mencabar, seorang anggota bomba di negeri ini berjaya menurunkan berat hampir 38 kilogram (kg) dalam tempoh enam bulan.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, PBK I Mohd Lokman Ghani, 45, yang sebelum ini memiliki berat badan 112.9kg, berjaya menurunkan berat sehingga 75kg, sekali gus menjadikan pergerakannya lebih tangkas serta tidak lagi mudah mengah ketika bertugas.
Menurutnya, perubahan drastik itu dilakukan selepas menyedari tuntutan kerja seorang anggota bomba memerlukan kecergasan tinggi, ketahanan fizikal serta kepantasan bergerak, khususnya dalam operasi menyelamat.
“Saya sedar bomba perlu sentiasa cergas. Dulu saya cepat mengah dan pergerakan pun perlahan, tetapi selepas itu saya terus tekad untuk berubah,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Disember 2025 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, yang disempurnakan Pengarah JBPM Melaka, Zaidi Ma’at, di Bukit Katil, hari ini.
Mohd Lokman berkata, sebulan sebelum menyertai Program Intervensi Pengurusan Berat Badan (IFITER) 2025, beliau mula mengurangkan sepenuhnya pengambilan gula dalam makanan dan minuman.
Menurutnya, kaedah utama yang diamalkan adalah pemakanan seimbang, lebihkan sayur, protein dan karbohidrat sihat selain hanya menyentuh nasi dua kali sebulan.
Katanya, dia pernah menurunkan hampir 15kg ketika menghadiri temu duga kenaikan pangkat sebelum ini, namun kali ini pencapaiannya lebih besar dan memberi impak sangat positif terhadap stamina harian.
“Sekarang saya rasa lebih ringan, lebih bersemangat dan paling penting, saya boleh bergerak laju tanpa cepat penat,” katanya yang juga bapa kepada seorang anak.
Usaha Mohd Lokman turut menjadi inspirasi kepada rakan setugas yang kagum dengan disiplin serta komitmennya menjaga kesihatan.
Sementara itu, Zaidi berkata, program IFITER yang dijalankan melalui kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Wellness Hub Alor Gajah dan JBPM Melaka, terus menunjukkan peningkatan positif dalam kesihatan warga bomba.
Katanya, program itu bukan sekadar cabaran menurunkan berat badan, sebaliknya satu manifestasi budaya kerja sihat, disiplin diri dan kesedaran terhadap pengurusan kesihatan yang berterusan.
“Kecergasan anggota adalah aset terbesar organisasi kerana ia secara langsung menyumbang kepada keberkesanan operasi penyelamatan, pemadaman dan kesiapsiagaan bomba.
“Kami bangga melihat kesungguhan semua peserta yang berani menerima cabaran mengubah gaya hidup,” katanya.
Program disertai seramai 60 peserta itu menyaksikan kesemuanya berjaya menurunkan berat badan dan daripada jumlah itu 20 peserta merekodkan indeks jisim badan (BMI) bawah 30.
️🙂
© New Straits Times Press (M) Bhd




