Pelakon Zul Huzaimy tampil menegur sikap segelintir netizen yang menjatuhkan hukum terhadap golongan mat rempit hanya kerana kontroversi rumah tangga pempengaruh permotoran, Haqiem Stopa.
Memetik laporan Harian Metro, Zul atau nama lengkapnya, Zul Huzaimy Marzuki, 47, berkata tidak wajar satu kelompok dipandang rendah semata-mata kerana stereotaip yang tercetus oleh masyarakat.
“Jangan terus hukum mat rempit. Kita semua sama saja. Jangan sebab mereka mat rempit, kononnya tak ada kelas,” katanya.
Zul menjelaskan, ramai budak motor hanya aktif pada hujung minggu dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain, selain juga bekerjaya.
“Mereka pun bekerja, ada komitmen. Dan kalau saya nak jujur, ada lagi manusia lain yang perangainya lebih teruk daripada apa yang sering dikaitkan dengan mat rempit,” ujarnya.
Mengulas mengenai kemelut rumah tangga Haqiem, Zul berkata dia percaya pasangan itu boleh menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa penglibatan pihak luar.
“Saya kenal Haqiem, kami pernah jumpa dan berhubung. Dia jemput saya ke majlis kahwinnya pun. Dia budak baik… mungkin ada cemburu atau salah faham,” katanya.

Aktor filem Kl Menjerit 1 ini turut menegaskan isu rumah tangga tidak sewajarnya dibesarkan kerana hanya pasangan terbabit mengetahui cerita sebenar.
“Orang lain tak tidur di tengah-tengah bantal mereka. Biarlah mereka sendiri cari jalan penyelesaian. Saya doakan yang terbaik buat kedua-duanya,” tambahnya lagi.
Isu pasangan itu mula jadi bualan selepas isteri Haqiem, Aireena Sofia, memuat naik rakaman pengakuan seorang remaja perempuan yang mendakwa tidur sebilik dengannya.
Susulan itu, Aireena memfailkan permohonan cerai pada 4 November lalu dan kes sedang berjalan di Mahkamah Syariah.
Untuk rekod, pasangan tersebut berkahwin pada 11 Oktober tahun lalu dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Hud, yang kini berusia tiga bulan.
Sumber: Harian Metro




