SPRM-APMM perkukuh kerjasama banteras rasuah di lautan

SPRM-APMM perkukuh kerjasama banteras rasuah di lautan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengukuhkan operasi terutama isu rasuah di lautan membabitkan nelayan asing menyogok penguat kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata rasuah di perairan sering membabitkan sogokan untuk melepasi penguatkuasaan.

“SPRM memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit melalui pendekatan perundangan serta kewangan.

“Perasuah perlu dibankrapkan bagi mengelakkan mereka terus menikmati harta curi khususnya hasil rasuah yang berlaku dalam operasi dan penguatkuasaan di perairan negara,” katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi APMM di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah; Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Nurul Hizam Zakaria dan Pengarah Perisikan APMM, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Md Fauzi Othman.

Azam berkata, kegiatan rasuah di lautan bukan sahaja mengakibatkan kerugian besar kepada negara malah menjejaskan keselamatan maritim.

Katanya, operasi antara agensi akan dipertingkatkan bagi mengekang salah guna kuasa manakala usaha meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai APMM juga dipergiatkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top