sukan@hmetro.com.my
Bangkok: Kesedihan, kecederaan dan kekurangan pemain telah mencabar kempen Malaysia di Sukan Sea, namun ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23), Nafuzi Zain, menegaskan pasukannya akan terus berjuang menjelang pertembungan penting Kumpulan B menentang Vietnam esok (Khamis).
“Kami mengucapkan takziah kepada Haqimi Azim Rosli. Bapanya (Shahrol Asikin Shariff) telah meninggal dunia pagi ini.
“Saya beritahu dia untuk selesaikan segala urusan di rumah dahulu. Kita tengok sama ada dia boleh kembali, tetapi bagi pasukan dan saya, kami amat memerlukannya untuk perlawanan menentang Vietnam. Kami perlu beri masa kepadanya. Jika semuanya selesai di rumah dan dia mampu, ada peluang baik dia kembali (ke Bangkok untuk perlawanan menentang Vietnam). Saya harap dia datang… saya perlukan dia di sini,” kata Nafuzi ketika ditemui di hotel pasukan di Bangkok, hari ini.
Ketiadaan Haqimi menambah lagi cabaran dalam pemilihan skuad Malaysia. Pemain tengah bertahan, Haziq Kutty Abba, terpaksa digugurkan sepanjang kejohanan akibat kecederaan hamstring, manakala beberapa pemain lain baru sahaja menyertai semula pasukan selepas pelepasan lewat dalam tempoh bukan kalendar FIFA.
“Ia berita baik dan buruk. Kami kehilangan Haziq, dan masih belum cukup pemain. Tapi hari ini, Aliff Izwan Yuslan dan Aiman Yusoff kembali. Walaupun pemain masuk dan keluar, kami terima cabaran ini dan tetap fokus kepada Vietnam,” katanya.
Jurulatih berusia 47 tahun itu kekal tenang di sebalik ‘kekacauan’, menegaskan keadaan ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran seorang jurulatih.
“Setiap tempoh ada cabaran berbeza. Kali ini unik, tetapi itu sebahagian daripada tugas.
“Saya hanya perlu tenang dan cari penyelesaian terbaik,” katanya sambil ketawa apabila ditanya sama ada buku strategi beliau semakin tebal,” katanya.
Harimau Muda perlu mengelak kekalahan untuk melangkah ke separuh akhir, tetapi Nafuzi enggan mengambil pendekatan pasif.
“Pertama, kami bermain untuk menang. Tapi yang penting, kami tidak boleh kalah… jika elak kekalahan, kami layak ke separuh akhir,” katanya.
Menanti mereka adalah juara dua kali Sukan Sea, Vietnam, yang diperkuatkan sayap tengah dalam prestasi cemerlang, Nguyen Dinh Bac, yang menjaringkan dua gol menentang Laos dan sentiasa menjadi ancaman di peringkat remaja dan senior.
Namun, walau menghadapi pelbagai cabaran termasuk sumber terhad, Nafuzi tetap teguh dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kami hanya fokus pada apa yang perlu dilakukan. Itu sahaja yang penting,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



