PSG terus bergelut tanpa Dembele menjelang aksi UCL

PSG terus bergelut tanpa Dembele menjelang aksi UCL

Paris: Penyerang Paris Saint Germain (PSG), Ousmane Dembele disahkan terlepas aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang Athletic Bilbao pada Khamis selepas pemain itu jatuh sakit, umum juara bertahan itu.

Dembele, 28, yang juga pemenang Ballon d’Or 2025, mengalami simptom sejak Isnin dan dianggap tidak cergas untuk perlawanan fasa liga di Sepanyol.

Ketiadaannya menambah lagi gangguan kepada prestasi semasa pemain itu yang bergelut mendapatkan kecergasan perlawanan secara konsisten.

Sebelum ini, Dembele tidak beraksi dalam dua perlawanan domestik menentang Olympique Lyonnais dan Le Havre akibat kecederaan betis, sebelum kembali pada 26 November ketika PSG menewaskan Tottenham Hotspur 5-3 dalam saingan UCL, itu pun hanya beraksi 12 minit sebagai pemain gantian.

Pemain antarabangsa Perancis itu kemudian membuat dua lagi penampilan dari bangku simpanan, ketika tewas 0-1 kepada Monaco pada 29 November dan ketika membelasah Rennes 5-0 dalam aksi Ligue 1 minggu lalu, bermain hampir setengah jam dalam kedua-dua perlawanan.

Dalam aksi menentang Rennes, Dembele sempat mencipta satu bantuan jaringan apabila menghantar bola kepada Goncalo Ramos pada masa kecederaan, menunjukkan petanda peningkatan sebelum sakit menimpanya menjelang aksi penting Eropah Khamis ini.

PSG kini menghuni tangga kedua dalam liga 36 pasukan dengan 12 mata daripada lima perlawanan, manakala Athletic Bilbao berada di tangga ke-27 dengan empat mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top