Buenos Aires: Pihak berkuasa Argentina melakukan serbuan besar-besaran ke atas pejabat Persekutuan Bolasepak Argentina (AFA) serta beberapa kelab utama negara itu sebagai sebahagian daripada siasatan pengubahan wang haram, kata sumber polis kepada AFP.
Dalam operasi serentak yang diarahkan seorang hakim, pegawai penyiasat menyerbu ibu pejabat AFA di selatan Buenos Aires, selain premis kelab terkenal seperti Racing Club, San Lorenzo, Independiente dan Banfield.
“Setakat ini, antara 25 hingga 30 serbuan dilakukan terhadap kelab dan kediaman persendirian,” kata sumber itu, yang turut mengesahkan serbuan ke atas ibu pejabat AFA.
Pegawai penyiasat dilaporkan mencari dokumen perakaunan berkaitan syarikat kewangan Sur Finanzas, penaja kepada beberapa kelab yang disyaki melakukan salah laku.
Bulan lalu, pihak berkuasa cukai memfailkan aduan terhadap syarikat berkenaan atas dakwaan mengelak cukai membabitkan jumlah bersamaan AS$550 juta (RM2.58 bilion).
Sur Finanzas menjalankan pelbagai urusan perniagaan dalam ekosistem bola sepak Argentina, dan Ketua Eksekutifnya, Ariel Vallejo, dikenal pasti sebagai individu rapat kepada Presiden AFA, Claudio Tapia.
Tahun lalu, Sur Finanzas adalah penaja rasmi liga bola sepak Argentina serta skuad kebangsaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




