TV Tuisyen Dilancarkan Secara Rasmi, Platform Pembelajaran Baharu Saksikan Penglibatan Guru Selebriti

TV Tuisyen Dilancarkan Secara Rasmi, Platform Pembelajaran Baharu Saksikan Penglibatan Guru Selebriti

Platform penstriman tempatan, Tonton, melancarkan inisiatif pendidikan digital terbaharu menerusi TV Tuisyen, yang mula ditawarkan kepada pengguna bermula 1 Oktober 2025.

Pelancaran itu menandakan usaha memperkasa pembelajaran dalam talian untuk pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 selaras perubahan landskap pendidikan masa kini.

Menampilkan kandungan berstruktur dan sejajar Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), TV Tuisyen menawarkan akses kepada ribuan bahan pembelajaran termasuk video akademik, nota ringkas, latihan serta kuiz interaktif yang boleh ditonton pada bila-bila masa.

13 Subjek KSSM Dengan Penyampaian Lebih Dinamik

Platform berkenaan meliputi 13 subjek utama seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Kimia, Biologi, Fizik, Matematik Tambahan, Perniagaan, Ekonomi, Geografi dan Prinsip Perakaunan.

Setiap kandungan dihasilkan dengan kerjasama tenaga pengajar berpengalaman dan disemak rapi bagi memastikan penyampaian yang mudah difahami serta tepat mengikut silibus semasa.

Lebih menarik, TV Tuisyen turut menampilkan barisan tenaga pengajar selebriti termasuk Fendy Bakry, Shah Iskandar, Raja Afiq, Aniq Suhair, Elisya Sandha, Alvin Chong, Zara Zya, Adam Lee, Juliana Evans, Wafariena dan beberapa nama popular lain bagi menyokong pementasan visual dan penyampaian yang lebih menarik minat pelajar.

Fleksibel, Mampu Milik & Mudah Diakses

Langganan TV Tuisyen ditawarkan pada harga mampu milik serendah RM9.90 sebulan, selain pilihan pelan 3 bulan (RM29.70) dan 12 bulan (RM118.80). Semua pelan meliputi akses tanpa had kepada keseluruhan perpustakaan pembelajaran.

Pengguna boleh menonton menggunakan pelbagai peranti termasuk telefon pintar, tablet, komputer riba dan televisyen pintar selagi ia menyokong platform Tonton, menjadikan proses pembelajaran lebih fleksibel dan praktikal.

Manfaat Kepada Pelajar, Ibu Bapa & Guru

Selain membantu pelajar melakukan ulang kaji secara teratur, TV Tuisyen juga memberi kemudahan kepada ibu bapa dalam memantau pembelajaran anak dengan lebih yakin kerana kandungannya berasaskan silibus rasmi.

Guru turut berpeluang menggunakan bahan disediakan sebagai sokongan di dalam bilik darjah, sekaligus membantu memperkukuh penyampaian dan memperluas akses pendidikan berkualiti.

Pendaftaran & Maklumat Sokongan

Untuk memulakan penggunaan, pengguna hanya perlu mendaftar akaun di Tonton dan melanggan mana-mana pelan TV Tuisyen. Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui e-mel [email protected] atau menerusi pautan bantuan di tinyurl.com/Tonton-Squad.

Tonton memaklumkan, beberapa promosi dan kempen menarik sempena pelancaran platform tersebut akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui saluran media sosial rasmi.

Pelancaran TV Tuisyen dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuh akses pendidikan digital negara, sekali gus menyokong usaha melahirkan generasi pelajar yang lebih bersedia menghadapi cabaran akademik dan era digital.

Scroll to Top