Polis giat kesan dua kenderaan halang laluan ambulans di KESAS

Polis giat kesan dua kenderaan halang laluan ambulans di KESAS

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan dua kenderaan yang didakwa menghalang laluan sebuah ambulans di Lebuhraya KESAS menghala ke Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, satu laporan polis sudah dibuat pada jam 11.23 pagi susulan video tular mengenai insiden itu yang dimuat naik oleh pengguna TikTok ‘azmanroy@85’.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semalam di Kilometer (KM) 36.3 lebuh raya berkenaan.

“Ambulans berkenaan sedang membunyikan siren dan dalam perjalanan ke Hospital Sentosa Klang untuk mengambil seorang pesakit yang mengalami demam panas. Namun, dua kenderaan di laluan paling kanan didapati enggan memberi laluan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu ambulans berkenaan bagaimanapun tidak sempat mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan-kenderaan yang terbabit.

“Kes disiasat di bawah Kaedah 9(2) LN 166/59. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Subang Jaya, Inspektor Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top