Sukan Sea Thailand buka tirai dalam bayangan konflik sempadan

Sukan Sea Thailand buka tirai dalam bayangan konflik sempadan

Bangkok: Temasya Sukan Sea Thailand 2025 membuka tirai secara rasmi di Bangkok hari ini dengan kawalan keselamatan atlet diperketat susulan pertempuran terbaharu di sempadan Thailand–Kemboja.

Sukan Sea yang berlangsung hingga 20 Disember itu dianjurkan di Bangkok dan wilayah pesisir Chonburi, membabitkan ribuan atlet dari 11 negara Asia Tenggara dalam pelbagai acara termasuk bola sepak, lawan pedang, papan selaju, pelayaran dan sukan tempur.

Antara nama besar yang akan beraksi ialah pemenang emas Olimpik, Hidilyn Diaz (angkat berat, Filipina), Rizki Juniansyah (angkat berat, Indonesia) serta pemenang perak Olimpik, Kunlavut Vitidsarn (badminton, Thailand).

Majlis pembukaan di Stadium Nasional Rajamangala dirasmikan oleh Raja dan Permaisuri Thailand, dengan persembahan oleh artis Thailand yang berlatih di Korea Selatan, BamBam.

Namun jauh dari gelanggang, ketegangan di sempadan kembali memuncak apabila pertempuran terbaharu berkaitan pertikaian lama antara Thailand dan Kemboja meragut enam nyawa orang awam Kemboja serta tiga anggota tentera Thailand, selain mencederakan lebih 20 individu.

Atas faktor keselamatan, Kemboja bulan lalu menarik keluar hampir separuh kontinjen mereka, tidak menyertai lapan acara termasuk bola sepak, gusti, judo dan karate.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Thammanat Prompao berkata, negara itu akan memastikan ‘tahap keselamatan tertinggi’ buat atlet Kemboja sepanjang ketegangan sempadan berterusan.

Menurutnya, anggota keselamatan akan ditempatkan bagi menjamin perlindungan atlet, namun butiran operasi tidak didedahkan.

Thailand kali terakhir menjadi tuan rumah Sukan Sea pada 2007.

Temasya dwitahunan itu bermula di Bangkok pada 1959.

Sukan Sea turut dikenali dengan kemasukan sukan bukan Olimpik yang popular di rantau ini seperti sepak takraw dan pencak silat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top