am@hmetro.com.my
Kuantan: Seorang pengusaha restoran di Jerantut kerugian RM783,000 terpedaya skim pelaburan tidak wujud dalam dalam talian yang menawarkan pulangan keuntungan sehingga 85 peratus.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata berdasarkan laporan dibuat mangsa semalam, lelaki berusia 30 tahun itu diperdaya melalui iklan pelaburan saham di Facebook pada 17 September lalu.
Katanya, mangsa dihubungi individu dikenali sebagai ‘Christy’ dengan menawarkan pelaburan menjanjikan pulangan harian antara RM550 dan RM600 dengan keuntungan sehingga 85 peratus kepada pelabur.
“Mangsa turut diarahkan memuat turun satu aplikasi yang kononnya bagi tujuan paparan urus niaga dan pemantauan pelaburan saham terbabit.
“Antara 20 Oktober hingga 7 Disember lalu, mangsa membuat sebanyak 23 transaksi pemindahan wang kepada lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM783,000.
“Namun selepas bayaran dibuat, mangsa gagal mengeluarkan wang keuntungan dan diminta membuat bayaran tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati sumber kewangan mangsa daripada simpanan peribadi, simpanan perniagaan, pinjaman keluarga dan hasil jualan barang kemas.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai perlu berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat. khususnya yang dipromosikan melalui media sosial.
“Sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.mp.gov.my untuk mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan,” katanya.
Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
© New Straits Times Press (M) Bhd




