Bukti Liga M belum profesional

Bukti Liga M belum profesional

syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pemberian dana daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang ‘menanggung’ hutang bekas pemain daripada pasukan yang ditutup sebenarnya mencerminkan kelemahan Liga Malaysia (Liga M) untuk bergerak sebagai satu industri.

Itu pandangan pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli yang melihat situasi itu jelas menunjukkan betapa saingan domestik belum lagi mencapai tahap profesional yang setara dengan imej yang sering digembar-gemburkan sebagai pertandingan yang begitu gah.

Bagaimanapun, Pekan yang juga Ketua Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berterima kasih atas pendekatan FIFA terbabit yang boleh dianggap ‘mencuci kesalahan’ pihak lain walaupun bukan mereka yang berhutang.

“Liga sudah profesional tetapi masih terpalit dengan isu tunggakan gaji sehingga kelab ditutup. Dapat pula bantuan daripada pihak luar, ini menunjukkan kita belum lagi profesional sebagai satu industri bola sepak.

“Berdasarkan apa yang berlaku, industri bola sepak di negara ini bukan sahaja tidak dapat menjamin kelangsungan pemain selepas bersara, malah ketika bermain sekalipun dan ada kontrak, tiada jaminan mereka akan mendapat gaji seperti yang dijanjikan.

“Ini baru membabitkan sehingga 2020, siapa tahu kalau negara kita akan terus berada dalam radar FIFA pada masa akan datang. Nampaknya jauh lagilah untuk kita lihat bola sepak kita menjadi satu industri seperti di negara bola sepak yang lain.

“Tetapi saya tabik hormat pada FIFA kerana mengambil tanggungjawab ini. Tiada beban batu digalas tetapi dengan bantuan ini, bolehlah mereka dianggap sebagai ‘malaikat’ yang hadir untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Dalam masa sama, Pekan melihat pendekatan yang diambil FIFA untuk bertanggungjawab atas isu kebajikan pemain perlu dicontohi semua ahli gabungan mereka termasuklah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“FIFA ada perancangan yang jelas sehingga memiliki dana untuk membantu pemain dalam isu tunggakan gaji. Mungkin sudah tiba masanya ahli gabungan mengambil langkah sama untuk menjaga kebajikan pemain di bawah naungan mereka.

“Kalau mereka (FAM dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), ketika ini menjadi penyalur maklumat ataupun orang tengah, mungkin selepas ini mereka pula boleh menjadi pihak yang menghulurkan bantuan daripada aspek kewangan,” katanya.

Terdahulu, FIFA meluluskan pemberian geran kepada 147 bekas pemain dari lima pasukan negara ini yang membabitkan keseluruhan dana berjumlah AS$456,214.48 (RM1.88 juta).

Menerusi geran berkenaan, setiap bekas pemain terbabit yang pasukan mereka sudah pun ditutup sebelum ini akan menerima sebanyak antara AS$1,227.67 (RM5,000) hingga AS$9,227.67 (RM38,000).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top