Kes tiga ditembak mati polis, ahli keluarga dipanggil ke Bukit Aman

Kes tiga ditembak mati polis, ahli keluarga dipanggil ke Bukit Aman

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keluarga kepada tiga suspek yang ditembak mati polis di Durian Tunggal, Melaka, pada 24 November lalu, hadir ke Bukit Aman hari ini, bagi proses rakaman percakapan.

Salah seorang ahli keluarga suspek yang ditembak turut membawa telefon bimbit yang mengandungi audio rakaman perbualan ketika hari kejadian.

Peguam mewakili tiga keluarga berkenaan Rajesh Nagarajan, berkata audio rakaman itu dibawa untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat dari Pasukan Khas Jabatan Siasatan Jenayah, yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, sebelum ini.

Beliau turut menuntut supaya pihak polis mendedahkan nama pegawai yang dilantik menganggotai Pasukan Khas berkenaan.

“Ia penting kerana keluarga mangsa mahukan ketelusan dalam siasatan kes ini.

“Keluarga individu yang ditembak juga turut mempersoalkan status anggota yang menembak mati ahli keluarga mereka sama ada masih bertugas atau sudah digantung sementara siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam sidang media sebelum memasuki Bukit Aman bersama pihak keluarga yang ditembak.

Katanya, semua anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu perlu digantung kerja dan didakwa dengan segera selepas siasatan selesai bagi mengembalikan kepercayaan awam terhadap pasukan berkenaan.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Akibat serangan suspek, anggota polis berpangkat koperal, berusia awal

30-an cedera parah pada lengan kiri.

Kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dikesan dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024.

Ketiga-tiga mereka disyaki melakukan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan membabitkan kerugian RM1.35 juta.

Pada 3 Disember lalu, media melaporkan ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pihak polis.

Susulan itu, JSJ kemudian menubuhkan satu pasukan khas untuk mengambil alih siasatan bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki terbabit yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top