PUTRAJAYA: Malaysia masih mencatatkan kes kematian akibat Covid-19 yang tinggi apabila sebanyak 50 kes direkodkan dengan 6,493 kes positif manakala Selangor terus menjadi penyumbang terbesar iaitu 2,163 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor juga merekodkan kematian terbanyak iaitu 22 kes lapan kes di Sarawak, lima kes di Johor, empat kes di Kedah, tiga kes di Kuala Lumpur, masing-masing dua kes di Negeri Sembilan,
Perak, dan Melaka serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang dan Kelantan.
Katanya, seramai 29 lelaki dan 21 wanita termasuk satu warga asing berusia antara 35 hingga 90 tahun dengan merekodkan seramai 40 warga emas daripada jumlah kematian.
“Hanya dua kes melibatkan kematian di kediaman manakala 48 kes lagi, meninggal di hospital yang dikhususkan merawat pesakit Covid-19.
“Antara penyakit yang direkodkan iaitu asma, kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, kanser, jantung, buah pinggang kronik, paru-paru obstruktif kronik, gout, strok, kanser paru-paru dan obesiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes sembuh turut menunjukkan peningkatan apabila merekodkan 4,508 kes dan 18 kluster manakala kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 52,106 kes berbanding semalam, 50,171 kes.
Katanya, sebanyak 643 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 363 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selain Selangor yang merekodkan kes tertinggi, majoriti negeri merekodkan kes tiga angka iaitu Kuala Lumpur, 641 kes; Sarawak, 612 kes; Kelantan, 467 kes; Kedah, 434 kes; Johor, 406 kes; Perak, 382 kes; Negeri Sembilan, 370 kes; Pulau Pinang, 302 kes; Melaka, 165 kes; Pahang, 161 kes; Sabah, 144 kes dan Terengganu, 139 kes.
“Bagi dua wilayah pula, ia merekodkan kes dua angka iaitu Labuan, 84 kes dan Putrajaya, 20 kes manakala Perlis, tiga kes,” katanya.
Mengulas mengenai 18 kluster, Dr. Noor Hisham berkata, 10 kluster tempat kerja, lima kluster keagamaan dan tiga kluster komuniti.
Bagi 10 kluster tempat kerja katanya, Kluster Persiaran Perbandaran melibatkan Petaling, Klang, dan Hulu Langat, Selangor, 25 kes; Kluster Industri Balakong Tiga melibatkan Hulu Langat, Sepang dan Petaling, Selangor, 19 kes; Kluster Jalan Wan Kadir melibatkan Kepong, Lembah Pantai, Titiwangsa, Cheras, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor, lapan kes; Kluster Jalan Simpang Tiga melibatkan Kuching, Samarahan, Serian, dan Asajaya, Sarawak, 14 kes dan Kluster Jalan Datin Halimah di Johor Bahru, Johor, 10 kes.
“Lima lagi iaitu Kluster Jalan Mengkibol di Kluang, Johor, 25 kes; Kluster Jalan Selat di Manjung, Perak, 13 kes; Kluster Industri Senawang di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, 24 kes; Kluster Sungai Keluang 2 melibatkan Barat Daya, Timur Laut, dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, 24 kes dan Kluster Industri Kelemak di Alor Gajah, Melaka, 25 kes.
“Lima kluster keagamaan pula, Kluster Jalan Kota Raja di Klang, Selangor, 37 kes; Kluster Kampung Mujahidin di Kuala Langat, Selangor, 41 kes; Kluster Sri Penara di Cheras, Kuala Lumpur, 29 kes; Kluster Taman Setiawangsa di Titiwangsa, Kuala Lumpur, 13 kes dan Kluster Jalan Surau Stulang di Johor Bahru, Johor, 11 kes,” katanya.
Tambahnya, tiga kluster komuniti iaitu Kluster Susur Larut melibatkan Larut, Matang, dan Selama, Perak, 42 kes; Kluster Jalan Tanjung Minyak di Melaka Tengah, Melaka, 24 kes dan Kluster Simpang Sahari di Labuan, sembilan kes. – UTUSAN




