Syed Saddiq adalah dalang – Pendakwaan

Syed Saddiq adalah dalang – Pendakwaan

lokman.khairi@hmetro.com.my

Putajaya: Pihak pendakwaan hari ini berhujah bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah dalang atau ‘master mind’ dalam kesalahan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Mahkamah Rayuan terdahulu gagal melihat setiap keterangan mengikut kronologi kes secara objektif dan menilaikan kesemua keterangan secara menyeluruh.

Beliau berkata, Syed Sadiq bersalah bersubahat memberi arahan kepada saksi utama pendakwaan ke-13 (SP13) iaitu bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali untuk mengeluarkan wang milik Armada disebabkan alasan-alasan yang jahat dan tidak jujur.

“Keterangan SP13 adalah beliau tidak akan keluarkan wang RM1 juta milik Armada jika tidak menerima arahan daripada responden (Syed Saddiq) untuk mengeluarkan wang itu.

“Malah Mahkamah Rayuan juga mengakui responden ada mengeluarkan arahan kepada SP13 untuk mengeluarkan wang RM1 juta milik Armada, cuma Mahkamah Rayuan menolak untuk mempertimbangkan alasan-alasan arahan itu.

“Manakala keterangan berkenaan arahan responden kepada SP13 untuk melupuskan wang RM1 juta yang sama apabila pihak SPRM masuk menyiasat rumah responden pada 31 Mac 2020 juga Mahkamah Rayuan gagal mempertimbangkan dalam membuat keputusan,” katanya.

Wan Shaharuddin berhujah demikian pada prosiding rayuan pihak pendakwaan bagi mengetepikan pembebasan wakil rakyat itu dari sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta di Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini.

Rayuan itu didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Berhujah lanjut, Wan Shaharuddin berkata, Mahkamah Rayuan mengambil jalan mudah dengan ‘ambil dan pilih’ keterangan yang mereka merasakan perlu untuk membebaskan Syed Saddiq.

Kata beliau, tugas Mahkamah Rayuan mestilah dilakukan secara kritikal, menyeluruh dan secara adil.

“Tetapi malangnya Mahkamah Rayuan mengambil jalan pintas dengan mengambil apa yang dihujahkan oleh peguam responden ketika rayuan di Mahkamah Rayuan dan gagal menilaikan keseluruhan keterangan yang memihak perayu (pendakwaan),” katanya.

Dalam isu lain, pendakwaan turut berhujah Mahkamah Rayuan lebih dipengaruhi dengan emosi apabila membuat beberapa tuduhan liar kepada pihak pendakwaan dan pihak SPRM tanpa apa-apa keterangan yang boleh digunakan untuk menyokong tuduhan liar tersebut.

Tidak cukup dengan itu, Wan Shaharuddin berkata, dalam alasan penghakiman Mahkamah Rayuan, salah seorang panel Mahkamah Rayuan mengeluarkan ‘remarks’ yang tidak sepatutnya di mahkamah terbuka dengan mengkritik pihak pendakwaan sebagai ‘nakal’ di mahkamah terbuka semasa membuat keputusan.

“Mahkamah Rayuan mengambil langkah untuk memilih keterangan yang memihak responden sahaja dan hanya memilih hujahan peguambela pihak responden sahaja dalam membuat keputusan.

“Adalah hujahan kami apabila Mahkamah Rayuan sepatutnya pertimbangkan kesemua keterangan pihak pendakwaan yang ada dalam rekod-rekod rayuan dan bukannya melakukan pemilihan keterangan yang Mahkamah Rayuan rasa perlu dan sesuai diambil kira,” katanya.

Pendakwaan diwakili Wan Shaharuddin yang turut dibantu oleh Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ambiga Sreenevasan, Kee Wei Lon dan Lim Wei Jiet.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 33, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bekas Presiden Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top