Kerangka pembangunan dirangka setelah dengar pandangan kerajaan negeri

Kerangka pembangunan dirangka setelah dengar pandangan kerajaan negeri

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kerajaan pusat mengambil pendekatan mendengar pandangan serta teguran kerajaan negeri bagi memastikan kerangka pembangunan sebelum dilaksana benar-benar menepati kehendak dan keperluan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan terbabit diamalkan kerajaan pusat dalam setiap perancangan sebelum ia dilaksana di peringkat negeri.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, hubungan dan kerjasama itu menandakan perubahan besar dalam cara kerajaan merangka pembangunan negara yang kini tidak lagi bergantung kepada andaian kerajaan pusat semata-mata.

Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan pusat dan pentadbiran negeri membolehkan pelan pembangunan disesuaikan dengan realiti sebenar di tiap-tiap negeri termasuk Johor yang kini menjadi antara penyumbang terbesar ekonomi negara.

“Johor terus menunjukkan prestasi pelaburan yang memberangsangkan dengan anggaran nilai pelaburan yang berpotensi melepasi RM100 bilion, perkembangan yang disifatkan sebagai rekod baharu untuk negeri itu.

“Pencapaian ini membuktikan keyakinan pelabur asing dan tempatan terhadap kestabilan ekonomi negara serta hala tuju pembangunan yang lebih tersusun di bawah Kerajaan Madani,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menekankan kepentingan rangkaian pengangkutan moden termasuk projek pengangkutan elektrik baharu yang bakal menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi setempat.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur itu bukan sekadar projek rel, tetapi turut membabitkan perancangan bersepadu merangkumi pusat ekonomi, kawasan komersial, gerai makanan, perumahan dan pelbagai kemudahan rakyat di kawasan sekitar stesen yang dibina

Menurutnya, setiap stesen baharu akan dibangunkan secara strategik bagi mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.

“Model pembangunan berasaskan pengangkutan atau transit-oriented development itu akan menjadi antara tunjang utama pembaharuan ekonomi negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu Anwar berkata, kerjasama rapat Malaysia-Singapura menerusi penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan terus diperkukuh bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi pada masa depan.

Beliau berkata, hubungan ekonomi kedua-dua negara kini berada pada tahap terbaik dan Johor bakal menerima limpahan pelaburan besar terutama dalam sektor teknologi, logistik, pembuatan pintar dan tenaga baharu.

“Pendekatan Ekonomi Madani menuntut pembangunan yang bukan hanya gah tetapi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen KTMB Kempas Baru di sini hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top