sukan@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kumpulan Sawit Kinabalu menaja 2,000 tiket percuma kepada penyokong Sabah FC di Semenanjung untuk menyaksikan final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
Aksi itu membawa makna besar buat Sabah yang kembali ke pentas final selepas penantian 27 tahun, sekali gus menghidupkan semula harapan ribuan penyokong Sang Badak.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg, berkata, sumbangan tiket itu bagi memastikan lebih ramai penyokong Sabah berada di stadium memberi dorongan moral kepada pasukan.
Menurutnya, inisiatif itu juga seiring hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri memainkan peranan bukan saja dalam pembangunan ekonomi, malah termasuk menyokong arena bola sepak.
“Sawit Kinabalu mahu menyemarakkan lagi semangat kesukanan. Dengan 2,000 tiket ini, kita berharap lebih ramai penyokong Sabah FC dapat hadir memberikan sokongan pada aksi final,” katanya dalam kenyataan.
Victor, yang turut bertindak sebagai Pengurus Sabah FC sejak Ogos lalu, berharap pemain mampu mempamerkan aksi terbaik dan mencipta sejarah meskipun berdepan JDT yang dianggap lawan paling digeruni.
“Ini peluang terbaik selepas 27 tahun. Jika kita berjaya melakar kemenangan, ia menjadi detik bersejarah buat Sabah,” katanya.
Sabah mara ke final selepas menewaskan Selangor FC 5-4 menerusi penentuan penalti di Stadium MBPJ pada aksi separuh akhir kedua, 30 November lalu.
Pengendali Sabah FC, Jean Paul de Marigny, berkata, pasukannya berada pada tahap prestasi optimum selepas lapan minggu persiapan intensif dan yakin anak buahnya bersedia untuk cabaran final.
Marigny menegaskan semua perancangan taktikal sudah dimuktamadkan dan menggesa penyokong memenuhi Stadium Nasional atau memberi sokongan dari jauh, selain menerima suntikan semangat daripada Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya menjelang aksi bersejarah itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



