Disyaki bunuh isteri: Polis jumpa pisau, ambil beberapa sampel

Disyaki bunuh isteri: Polis jumpa pisau, ambil beberapa sampel

am@hmetro.com.my

Butterworth: Polis menjumpai pisau yang dipercayai digunakan seorang lelaki untuk membunuh isterinya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Seberang Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata sampel diambil pasukan forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang menjalankan siasatan.

Menurutnya, terdahulu polis menerima maklumat jam 11.30 pagi daripada suspek yang mengaku membunuh isterinya di rumah mereka.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah ke lokasi kejadian sebelum menjumpai si mati (isteri suspek) dalam keadaan terbaring lengkap berpakaian di atas tilam dalam sebuah bilik tidur dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu.

“Polis menjumpai sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan mengambil beberapa sampel untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan terhadap suspek (suami mangsa) dilakukan dan dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini untuk permohonan reman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti motif dan punca kejadian berlaku,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media semalam melaporkan seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya empat hari lalu di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna, di sini sebelum tampil ke balai polis berhampiran untuk memaklumkan kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top