am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Hari ini genap 12 tahun Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar tahfiz ditemui di sebuah tahfiz di Kok Lanas yang dipercayai dibunuh.
Sepanjang tempoh itu, ibu, Ruhani Hussin, 70, dan bapa, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 79, kepada Allahyarham Wan Ahmad Faris tidak berputus asa dan menuntut keadilan kematian.
Mereka menyifatkan, kejadian menimpa anak sulungnya itu seperti baru berlaku dan masih segar dalam ingatannya walaupun hari ini sudah memasuki 12 tahun kejadian hitam itu.
Terbaru, keluarga berkenaan menyerahkan surat kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menerusi Pejabat Istana Kelantan tengahari semalam bagi memohon perkenan Sultan Kelantan supaya kes terbabit diselesaikan melalui lunas Islam.
Ruhani berkata, menerusi surat berkenaan, pihaknya turut mencadangkan supaya dapat dilakukan kaedah al-Qasamah iaitu kes jenayah yang pelakunya tidak dikenal pasti.
“Sebagai contoh menerusi al-Qasamah berkenaan, memandangkan mayat Allahyarham Wan Ahmad Faris ditemui dalam sekolah tahfiz berkenaan, maka pihak sekolah berkenaan adalah pihak yang perlu bertanggungjawab.
“Jika benar pihak sekolah tidak terbabit, mereka perlu melakukan sumpah mengatakan mereka tidak tahu menahu dan tidak terbabit berhubung kes berkenaan.
“Jika mereka enggan bersumpah, pihak berkenaan perlu membayar pampasan kepada keluarga. Dengan cara ini sahaja ia boleh memberi kepuasan kepada keluarga bagi menutup kes berkenaan.
“Selagi tidak selesai, kita akan syak pihak sekolah menyembunyikan sesuatu. Berkaitan siasatan polis, itu kerja polis dan al-Qasamah adalah isu lain,” katanya ketika dihubungi.
Beliau bagaimanapun berkata, perkara berkenaan hanya cadangan daripada pihak keluarga dan terpulang kepada perkenan Sultan Kelantan untuk mengangkat cadangan terbabit.
“Sebagai seorang ibu yang kehilangan anak, sudah tentulah saya mahu keadilan dan walaupun usia saya sendiri sudah 70 tahun, namun tiada erti putus asa dalam diri saya demi anak tersayang.
“Tiada apa yang diharapkan melainkan kes kematian anak saya mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris, pelajar Tingkatan Empat, ditemui tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kelantan.
Mayatnya dilaporkan ditemui oleh penyelia asrama selepas mengesan bau busuk dari tandas berkenaan. Pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengesahkan kes itu sebagai kematian mengejut yang tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.
Namun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Wan Ahmad Faris disebabkan oleh tindakan individu yang tidak dikenali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




