Wanita bersalin di dalam teksi tanpa pemandu

Wanita bersalin di dalam teksi tanpa pemandu

San Francisco: Seorang wanita di San Francisco melahirkan seorang bayi di tempat duduk belakang teksi tanpa pemandu, Waymo pada malam Isnin, lapor The San Francisco Standard.

Wanita itu dalam perjalanan ke Pusat Perubatan University of California, San Francisco (UCSF) apabila sakit bersalinnya semakin memuncak dan dia melahirkan bayi di dalam kenderaan autonomi berkenaan.

Ibu dan bayi yang baru lahir itu tiba dengan selamat di hospital menggunakan kenderaan tanpa pemandu berkenaan.

Seorang jurucakap Waymo berkata, pasukan sokongan jarak jauh syarikat mengesan “aktiviti luar biasa” di dalam kereta semasa perjalanan.

Pasukan sokongan kemudian menghubungi penumpang dan perkhidmatan kecemasan untuk memastikan keadaan mereka.

Dalam hantaran blog pada Rabu, syarikat itu menulis: “Awal minggu ini di San Francisco, seorang ibu yang hendak bersalin memanggil Waymo ke hospital dan mendapat kejutan tambahan: bayinya selamat dilahirkan di tempat duduk belakang.”

Syarikat itu berseloroh: “Ada orang memang tidak sabar untuk menaiki Waymo buat kali pertama.”

Selepas menghantar ibu dan bayi, kenderaan berkenaan dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk proses pembersihan.

Insiden itu menandakan detik unik bagi industri kenderaan autonomi. Waymo mengesahkan ini bukan kelahiran pertama berlaku dalam kenderaan mereka walaupun kejadian sedemikian jarang berlaku dan insiden serupa pernah direkodkan sebelum ini di Phoenix.

Teksi tanpa pemandu kini menjadi pemandangan yang semakin biasa di beberapa bandar Amerika Syarikat dengan syarikat seperti Waymo mengembangkan perkhidmatan autonomi mereka di kawasan San Francisco, Silicon Valley, Los Angeles dan Phoenix.

Bagaimanapun, peningkatan populariti ini tidak datang tanpa kontroversi. Dalam satu insiden, kenderaan Waymo membuat pusingan U yang menyalahi undang-undang di kawasan larangan mencetuskan perdebatan dalam talian terutamanya kerana polis tempatan tidak dapat mengeluarkan saman.

Walaupun menghadapi cabaran termasuk video kereta Waymo berlegar-legar tanpa hala tuju di Scottsdale, Arizona, penggunaan teksi tanpa pemandu terus meningkat, didorong oleh rasa ingin tahu orang ramai dan peralihan ke arah mobiliti dikuasakan kecerdasan buatan (AI).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top