Hamilton, Kanada: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada Khamis lalu bahawa banjir di ratusan tapak pelarian di Gaza meningkatkan risiko terhadap hampir separuh penduduk wilayah itu, dengan hujan lebat memburukkan lagi keadaan, lapor Anadolu Ajansi.
“Hujan lebat menenggelamkan khemah, membasahi barangan peribadi dan meningkatkan risiko kesihatan termasuk hipotermia dalam kalangan bayi serta penyakit berkaitan limpahan kumbahan,” kata jurucakap PBB Farhan Haq pada sidang media, memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
“Hari ini, pasukan kami di lapangan menubuhkan sistem tindak balas pantas bersama terhadap amaran banjir,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa agensi PBB dan pertubuhan bukan kerajaan sedang mengagihkan khemah, kanvas, pakaian tebal, selimut dan kit kebersihan di seluruh Gaza.
Beliau menyatakan bahawa sistem tindak balas pantas itu “memproses lebih 160 amaran banjir” sejak awal Khamis.
Menjelaskan usaha rakan-rakan kemanusiaan membantu keluarga membuat persiapan, Haq berkata, mereka mengagihkan guni tepung kosong untuk dijadikan benteng pasir, selain menyediakan alatan dan pasir jika berkemampuan.
“Berdasarkan analisis risiko banjir, lebih 760 tapak pelarian yang menempatkan kira-kira 850,000 orang berada pada tahap risiko tertinggi.
“Itu merangkumi kira-kira 40 peratus populasi Gaza,” katanya.
Haq menegaskan “keperluan yang amat besar”, sambil menyatakan bahawa sekatan ke atas operasi kemanusiaan mesti diringankan atau dihentikan.
“Ini termasuk menamatkan larangan berterusan terhadap kebanyakan NGO antarabangsa dan UNRWA, yang terus berkhidmat kepada komuniti walaupun beroperasi di bawah kekangan serius yang menghalang usaha memperluas bantuan,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan membuka lebih banyak laluan dan lintasan bagi membawa pelbagai jenis bantuan ke Gaza.
Sejak Rabu lalu, ribuan khemah yang menempatkan mangsa perang Israel bertukar menjadi takungan air, merosakkan tilam, pakaian dan bekalan makanan, serta menyebabkan ratusan keluarga Palestin terdedah kepada cuaca sejuk tanpa perlindungan mencukupi.
Penilaian awal menunjukkan Gaza memerlukan sekitar 300,000 khemah dan unit perumahan pasang siap bagi memenuhi keperluan asas selepas kemusnahan infrastruktur akibat serangan Israel selama dua tahun.
PBB menganggarkan kos pembinaan semula Gaza mencecah kira-kira AS$70 bilion.
Israel membunuh lebih 70,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 171,000 orang di Gaza sejak Oktober 2023.
Serangan itu terhenti selepas perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa dua bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




