lokman.khairi@hmetro.com.my
Putrajaya: Pihak pembelaan memohon Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang membebas dan melepaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdahulu tidak melakukan sebarang kekhilafan apabila memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kesemua pertuduhan yang dikemukakan pada tahap prima facie.
Katanya, tindakan Syed Saddiq mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali mengeluarkan wang RM1 juta pada 6 Mac 2020, tidak termasuk mana-mana actus reus (elemen perbuatan) bagi lima cabang pecah amanah jenayah mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan.
Beliau menambah, hujahan pendakwaan semalam, kononnya tingkah laku Syed Saddiq sebelum dan selepas 6 Mac 2020 menunjukkan responden didorong oleh niat jahat juga tidak mempunyai merit.
“Responden (Syed Saddiq) tidak mendapat keuntungan kewangan daripada tindakan pengeluaran apabila arahan diberikan.
“Mahkamah Rayuan mendapati responden tiada niat untuk menyebabkan kerugian salah kepada Armada atau keuntungan salah kepada dirinya sendiri.
“RM1 juta itu bertujuan untuk program Armada seperti bantuan COVID-19, Raya, Ramadan dan kebajikan. Ini disokong oleh keterangan saksi pendakwaan ke-13 (SP13), Rafiq Hakim dan SP9 (Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan, Muhammad Daniel Kusari),” katanya.
Hisyam berhujah demikian pada prosiding rayuan pihak pendakwaan bagi mengetepikan pembebasan wakil rakyat itu dari sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta di Mahkamah Persekutuan di sini, tadi.
Rayuan itu didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 403 Kanun keseksaan, Hisyam berhujah, pertuduhan terbabit adalah cacat dan tidak berasas kerana wang RM120,000 tidak dibuktikan sebagai milik sesiapa selain daripada Syed Saddiq sendiri.
“Tiada di mana-mana dalam pertuduhan dinyatakan bahawa wang itu milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, SP13 atau sesiapa sahaja.
“SP13 tidak mengatakan bahawa RM120,000 adalah milik ABBE, Armada, Bersatu atau dirinya sendiri.
“Malah, ia adalah idea SP13 sendiri apabila beliau mencadangkan kepada saksi pembelaan kedua (SD2), bekas Pegawai Khas Syed Saddiq, Mohamed Amshar Aziz bahawa responden boleh meminjam akaun itu bagi tujuan mengumpul dana untuk kempen pilihan raya,” katanya.
Menurut Hisyam, SP28 iaitu pegawai penyiasat SPRM, Nurul Hidayah Kamarudin, mengesahkan bahawa Syed Saddiq memaklumkan bahawa beliau membelanjakan wangnya sendiri dahulu dan apa yang dikumpul adalah dianggap sebagai pembayaran balik.
“Memandangkan pertuduhan ketiga dan keempat adalah bersandarkan kepada pertuduhan kedua, maka ia hendaklah gagal apabila pertuduhan kedua tidak dibuktikan,” katanya.
Selain Hisyam, Syed Saddiq turut diwakili peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Kee Wei Lon dan Lim Wei Jiet, manakala pendakwaan diwakili Datuk Wan Shaharuddin Wan Wan Ladin yang turut dibantu oleh Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 33, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




