am@hmetro.com.my
Baling: Hubungan rapat dua sahabat baik berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan di Jalan Parit Panjang-Kuala Ketil berhampiran Kampung Tembak, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, motosikal mereka dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum melanggar sisi kanan sebuah treler.
Ahmad Zamri Ahmad, 51, yang juga bapa kepada Syahul Hamid Ahmad Zamri, 19, berkata, arwah anaknya itu adalah penuntut tahun akhir (semester tiga) Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Kolej Tingkatan Enam Murni, Sungai Dua di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, katanya, rakan arwah, Mohamad Rafiqi Iman Mohd Saifulnazri, 18, dikatakan baharu saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Menurut Ahmad Zamri, Syahul Hamid adalah anak sulung daripada lima beradik dan juga menjadi harapan dalam keluarga.
Katanya, anaknya dan rakannya itu memang berkawan rapat dan tinggal dalam satu taman perumahan malah rumah mereka terletak berhadapan.
“Mereka sentiasa bersama malah ketika kejadian mereka hendak ke Kuala Ketil bersama tiga lagi rakan dan mereka menunggang tiga motosikal.
“Mereka keluar rumah sejak jam 8 pagi sebelum saya dimaklumkan mereka terbabit dalam kemalangan dan kedua-duanya meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Baling.
Ahmad Zamri berkata, sebelum ini arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan namun sejak akhir-akhir ini arwah anaknya banyak mendiamkan diri.
Katanya, Syahul Hamid sebelum ini sangat ceria dan peramah tetapi kurang bercakap beberapa hari lalu.
“Apapun yang berlaku, saya reda dengan kejadian yang menimpa anak saya, ” katanya.
Kedua-dua jenazah ini dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Tiga, Tasek Gelugur, Pulau Pinang selepas urusan bedah siasat selesai dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




