'Mungkin peminat nampak saya lebih menyerlah tahun ini' – Hael Husaini

'Mungkin peminat nampak saya lebih menyerlah tahun ini' – Hael Husaini

am@hmetro.com

Kuala Lumpur: Penyanyi, Hael Husaini, menyifatkan kemenangan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH 37) sebagai suntikan motivasi untuk terus berkarya serta menjadi contoh positif dalam industri muzik tanah air.

Hael, yang pertama kali dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular, mengakui dirinya tidak menjangka kemenangan itu memandangkan jumlah peminatnya tidak sebesar artis lain.

“Saya memang terkejut. Alhamdulillah, ini rezeki pada malam ini. Tapi itu bukan bermaksud artis lain yang tidak menang tidak bagus. Rezeki masing-masing, dan saya doakan semua finalis akan merasai kegembiraan seperti yang saya rasa hari ini,” katanya.

Menurut Hael, kemenangan dalam anugerah seumpama itu bergantung kepada impak seseorang artis sepanjang tahun, namun dia sendiri tidak pasti aspek mana yang membuatkan peminat memilihnya.

“Mungkin peminat nampak saya lebih menyerlah tahun ini, tapi saya pun tak tahu. Kena tanya mereka yang mengundi. Sejujurnya saya sangat terkejut,” katanya.

Mengulas mengenai bagaimana kemenangan itu mempengaruhi penghasilan karya selepas ini, Hael berkata dia tetap akan memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik tanpa mengira menang atau kalah.

“Kemenangan ini bonus untuk peminat yang mengundi saya. Tugas saya sebagai anak seni ialah mendidik, bukan saja peminat tetapi juga bakat baharu yang melihat saya sebagai contoh. Saya mahu angkat muzik Malaysia ke tahap lebih tinggi, insya-Allah,” katanya.

Dalam masa sama, Hael turut berkongsi bahawa ramai artis muda bertanyakan kepadanya mengenai cara mencari ilham, teknik penulisan lagu seterusnya untuk bertahan dalam industri.

“Mereka tahu saya sudah lama dalam bidang ini, bukan hanya selepas Akademi Fantasia (AF). Saya selalu pesan jangan putus asa. Saya sendiri sudah lebih lima tahun tercalon sebelum menang malam ini. Kalau bukan hari ini, mungkin rezeki akan datang kemudian,” katanya.

Hael sebelum ini pernah empat kali tercalon dalam kategori sama pada edisi ABPBH Ke-31, 33, 35 dan 36.

Hael Husaini pernah membawa pulang trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular pada ABPBH Ke-32 menerusi gandingan bersama Dayang Nurfaizah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top